Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Wadah Perkongsian Ilmu Kesusasteraan

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Isnin, 14 Disember. - Sejak tahun 1986 hingga 2019, seramai 34 orang penulis tanah air diiktiraf sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A Write Award).

Pengiktirafan peringkat serantau ini mencerminkan satu penghormatan yang cukup tinggi dan bermakna buat penulis-penulis Asia Tenggara termasuklah penulis tanah air.

Anugerah berprestij ini juga merupakan platform bagi mengangkat karya-karya berkualiti dan seterusnya, memperkenalkan penulis tanah air serta karya mereka ke peringkat serantau, malah persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan mengambil inisiatif untuk mengungkayahkan Majlis Bersama Penerima The S.E.A Write Award, 1986-2019, iaitu sesi bertukar-tukar pandangan penuh ilmu bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan penerima-penerima The S.E.A Write Award bagi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis ini akan menjadi salah satu wadah perkongsian ilmu, pemikiran, pendapat dan pengalaman bagi mengukuhkan serta memantapkan lagi perkembangan Kesusasteraan Melayu.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis.

Acara turut menyaksikan tayangan video yang memaparkan 34 penerima The S.E.A Write Award bagi NBD dan ristaan majlis penganugerahan.

Majlis diteruskan dengan sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi bin Haji Wahsalfelah.

Perbincangan membawa tema 'Sastera Brunei : Pelestarian dan Penyebaran' ini diangkat sebagai usaha untuk memperkasa dan melestarikan sastera bagi pengekalan kelangsungan hayat sastera negara.

Sejurus sesi perbincangan, penyampaian cenderamata berupa plak khas 34 wajah penerima The S.E.A Write Award bagi NBD kepada penerima-penerima disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Antara penerima-penerima anugerah yang hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (1998), Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (2000), Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut (1986), Awang Haji Mohd. Salleh bin Abdul Latif (1990), Awang Haji Abd. Rahman bin Md. Yusof (1992), Haji Awang Mohammad bin Haji Timbang (1997), Awang Haji Ibrahim bin Haji Muhammad (2001), Profesor Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid (2003), Awang Haji Jawawi bin haji Ahmad (2004), Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah (2005), Awang Haji Moksin bin Haji Abdul Kadir (2007), Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff (2011), Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit (2012), Awang Haji Abdul Aziz bin Tuah (2015), Awang Haji Jamaluddin bin Aspar (2016), Awang Tarif bin Haji Abdul Hamid (2018) dan Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Tamat (2019).

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan penulis-penulis tanah air.

Majlis antara lain bertujuan untuk mengapresiasi dan memberi penghormatan kepada penerima-penerima The S.E.A Write Award yang telah lama berbakti dan berjasa menyumbangkan tenaga serta pemikiran untuk pembangunan dan pembinaan bangsa.

Di samping itu, ia juga bagi mengadakan dialog intelektual, iaitu bertukar-tukar pandangan dan gagasan antara Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan penerima-penerima anugerah dan seterusnya merapatkan jalinan ukhuwah untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman pihak kerajaan dengan penulis-penulis dan mendekatkan penulis-penulis muda dengan penerima-penerima anugerah bagi meningkatkan kualiti penulisan.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/15/2020 9:37 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/15/2020 9:37 AM by Nisbah Binti Hj Merusin