Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Wujudkan Penulis Generasi Baharu Berbakat Lebih Kreatif

Wujudkan penulis generasi baharu berbakat lebih kreatif 2.JPG

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BERAKAS, Rabu, 9 Disember. - Seramai 29 peserta Program Penulis Muda 2020 (Bengkel Penulisan Cerpen) menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutupan Penulis Muda, berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Sijil-sijil kepada para peserta disampaikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin selaku wakil tetamu khas Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah-hadiah kepada para peserta yang memenangi Cerpen Terbaik.

Sementara itu, dalam ucapan Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Haji Mohd. Ali selaku Pengerusi Program Penulis Muda 2020 melahirkan rasa gembira kerana para peserta menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi sebagai seorang penulis.

"Saya sangat berharap segala ilmu yang diajarkan dan pengalaman yang diperoleh para peserta sepanjang bengkel ini akan memberi manfaat dan dapat membantu mereka dalam menghasilkan karya sastera, terutamanya cerpen yang lebih baik serta berkualiti di masa hadapan," jelas beliau.

Menurutnya, hasil daripada Program Penulis Muda sejak tiga kali bengkel diadakan, banyak memberikan kesedaran kepada masyarakat umum, terutama golongan muda terhadap sastera.

Jelasnya lagi, beberapa orang peserta bengkel berjaya menerbitkan hasil karyanya, seperti sajak dan cerpen, di majalah Bahana DBP hingga diwujudkan satu ruangan khusus, 'Suara Penulis Muda'.

Beliau juga berkata, ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana dalam jangka yang pendek, program ini berjaya menghasilkan beberapa orang penulis berbakat dan kreatif.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa, DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah akan merasmikan dan melaksanakan satu lagi projek baharu, iaitu 'Akademi Penulisan Kreatif', mulai Tahun 2021.

Projek itu, ujar beliau, merupakan kesinambungan daripada Program Penulis Muda, tetapi akademi berkenaan lebih memfokuskan kepada bentuk 'kuliah' bagi genre sastera, seperti sajak, cerpen, novel, drama dan kritikan / esei sastera.

"Akademi Penulisan Kreatif akan dilaksanakan setiap tahun. Kuliah akan bermula Januari hingga Disember, iaitu sekali setiap minggu, sama ada Jumaat atau minggu, dua jam setiap satu sesi, selama satu tahun dalam Fasa Pertama," ujar beliau.

Beliau memberitahu, kuliah dibahagikan kepada tiga peringkat setiap empat bulan, iaitu peringkat permulaan pada Januari hingga April; peringkat pertengahan bermula Mei hingga Ogos; dan peringkat lanjutan bermula September hingga Disember, di mana akan dibimbing oleh pakar dari dalam negara.

Beliau turut menyeru kepada semua penulis muda supaya dapat menyertai akademi ini kerana ia adalah satu bentuk kuliah sastera jangka panjang yang memberi manfaat besar kepada peminat sastera di negara ini di masa hadapan.

Program Penulis Muda 2020 (Bengkel Penulisan Cerpen) diadakan selama tiga hari, bermula 7 Disember 2020.

Program Penulis Muda merupakan projek tahunan DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah bagi mewujudkan sumber manusia dan mampu menambah jumlah penulis generasi baharu tanah air berbakat juga berpotensi dengan imej yang lebih dinamik, agresif dan kreatif.


Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/14/2020 10:14 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/14/2020 10:14 AM by Nisbah Binti Hj Merusin