Berita
dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR
SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Disember. - Para peserta Bengkel
Penulisan Cerpen diharap untuk terus berusaha menghasilkan karya
khususnya dalam menghayati hakikat sastera iaitu 'Sastera itu tidak
statik tapi dinamik'.
Sehubungan itu, Ketua Bahagian Sastera dan
Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji
Radin menyarankan kepada peserta supaya memberi fokus sepenuhnya dan
perlu aktif melibatkan diri di sepanjang bengkel diadakan.
Beliau
selaku Pengerusi Program Penulis Muda 2020 juga menyatakan bahawa impak
yang ingin dicapai dari bengkel ini nanti para peserta akan
menghasilkan sekurang-kurangkan sebuah cerpen di akhir bengkel.
Kemudian,
tambahnya, pembimbing akan memantau (menyemak) cerpen-cerpen peserta
sehingga bersih dan setelah penilaian terhadap cerpen berkenaan yang
mempunyai kualiti barulah akan diterbitkan ke dalam Majalah Bahana, DBP.
Lebih
20 peserta menyertai bengkel kali ini di bawah bimbingan Dr. Chong Ah
Fok yang dikenali dengan nama pena Eyuman. Beliau mula menceburi bidang
penulisan sejak 1975 dalam genre sajak, cerpen, esei, kritikan sastera,
novel dan drama (radio dan televisyen).
Sepanjang tiga hari
bengkel tersebut, sebanyak sembilan sesi akan diadakan untuk membimbing
penulis muda bagaimana menghasilkan cerpen yang berkualiti.
Dalam
bengkel tersebut, pembimbing akan memperkenalkan beberapa teknik
penulisan cerpen dengan memaparkan beberapa contoh cerpen daripada
penulis-penulis mapan dari Negara Brunei Darussalam dan juga
penulis-penulis dari luar negara.
Bengkel Penulisan Cerpen (merupakan
bengkel ketiga ia diadakan) adalah lanjutan daripada Program Penulis
Muda yang dirasmikan pada 15 Oktober 2019 dan bengkel pertama, iaitu
Bengkel Asas Penulisan Kreatif dan kemudiannya bengkel kedua iaitu
Bengkel Penulisan Sajak.
Program Penulis Muda merupakan projek
tahunan DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah bagi mewujudkan sumber
manusia dan mampu menambah jumlah penulis generasi baharu tanah air
(penulis muda) berbakat dan berpotensi dengan imej yang lebih dinamik,
agresif dan kreatif.
Dipetik daripada Pelita Brunei
Tarikh: 07 Disember 2020