Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kenali Permainan Tradisional Tempatan

Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

TUTONG, Isnin, 7 Disember. - Cuti persekolahan merupakan waktu yang dinantikan oleh pelajar terutama kanak-kanak yang akan merebut peluang ini untuk melakukan aktiviti digemari dan bermanfaat sambil meluangkan masa bersama-sama ibu bapa dan ahli keluarga.

Justeru, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cawangan Daerah Tutong menyediakan pelbagai program bersempena dengan Cuti Persekolahan Penggal Akhir pada bulan Disember ini bermula jam 9.30 pagi hingga selesai.

Antara pengisian program termasuk Bengkel Permainan Tradisional Brunei yang disediakan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Muzium-Muzium. Bengkel tersebut diadakan selama dua hari bermula hari ini bagi memperkenalkan permainan-permainan tradisional tempatan khususnya kepada kanak-kanak dan ahli muda mudi perpustakaan berkenaan supaya permainan ini tidak pupus ditelan zaman.

Permainan-permainan tradisional seperti Buah Lapas-Lapas, Pasang, Congkak dan Salok-Salokan antara yang diketengahkan dan para peserta diberikan tunjuk ajar mengenai selok belok bagaimana permainan tersebut dilakukan dan peraturannya.

Dengan adanya bengkel ini, kanak-kanak dan ahli muda mudi perpustakaan akan dapat mengetahui dan terdedah dengan kepelbagaian permainan tradisional tempatan yang ada, sekali gus berpeluang untuk mempelajari teknik-teknik yang betul untuk melakukan permainan tersebut.

Perpustakaan DBP, Cawangan Daerah Tutong dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang iaitu dari Isnin hingga Khamis dan Ahad, manakala pada Jumaat, dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.15 petang hingga 5.00 petang.


Dipetik daripada Pelita Brunei

Tarikh: 07 Disember 2020

Attachments
Created at 12/8/2020 10:08 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/8/2020 10:08 AM by Nisbah Binti Hj Merusin