Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

DBP Lambak Kanan Anjur Pelbagai Aktiviti

DBP Lambak kanan anjur pelbagai aktiviti 2.JPG

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BERAKAS, Sabtu, 5 Disember. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Lambak Kanan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk mengisi masa lapang para pelajar bagi Musim Cuti Persekolahan Penggal Ketiga ini.

Pada hari ini, sebanyak dua aktiviti diadakan bagi Kategori Muda-Mudi dan Kanak-Kanak, iaitu Kuiz Bahasa Brunei dan Interaktif Memori.

DBP Lambak kanan anjur pelbagai aktiviti 3.JPG

Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat II, Dayang Siti Mahyuna binti Haji Damit ketika ditemui Pelita Brunei berkata, aktiviti tersebut adalah untuk memperkenalkan kepada generasi muda mengenai nilai-nilai dan identiti bangsa supaya mereka mengetahui makna perkataan-perkataan yang terdapat dalam Bahasa Brunei, yang mungkin biasa mereka dengar atau baru mereka ketahui.

Selain itu, jelasnya, aktiviti bertujuan untuk membiasakan para peserta menggunakan Bahasa Brunei dalam perbualan seharian mereka.

Beliau berharap perpustakaan tersebut akan dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung, terutama daripada kalangan belia, selain meningkatkan kesedaran para ibu bapa atau penjaga akan kepentingan mengunjungi perpustakaan dan kemudahan yang terdapat di sini.

"Kami bukan sahaja menyediakan bahan bacaan, malahan juga aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dan bermanfaat untuk kanak-kanak," ujar beliau.

Antara aktiviti yang diadakan bagi Kategori Kanak-Kanak, katanya, adalah kraf tangan 'Ciptaanku' dan 'Untukmu' juga Kuiz 'Teka Cepat' dan 'Cari Aku'.

"Manakala bagi ahli muda-mudi, kami telah mengadakan aktiviti Kad Bajet dengan menggunakan Microsoft Publisher bagi mengajar para peserta cara-cara membuat kad, seperti kad undangan. Aktiviti seterusnya yang akan diadakan ialah mengajar para peserta cara-cara membuat buku nota, membuat poster menggunakan Microsoft Power Point dan penerangan mengenai pembuatan video pendek," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, aktiviti Sukan Ria akan turut dianjurkan oleh perpustakaan berkenaan, pada 12 Disember nanti dan disertai oleh ahli-ahli perpustakaan dari semua kategori, iaitu Kanak-Kanak, Muda-Mudi dan Dewasa.

Perpustakaan DBP Lambak Kanan mengadakan program bagi aktiviti musim cuti persekolahan tersebut, bermula 1 hingga 12 Disember 2020.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/7/2020 2:44 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/7/2020 2:44 PM by Nisbah Binti Hj Merusin