Oleh :
Haniza Abdul Latif / Infografik : Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29
November. - Bagi menggerakkan program perpustakaan secara dalam
talian, di samping untuk merangsang kreativiti dan imaginasi belia
dalam penceritaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan
Pertandingan Mereka Bentuk Kulit Buku Cerita.
Pertandingan tersebut
adalah salah satu usaha DBP untuk menggalakkan dan mendekatkan orang
ramai dengan perpustakaan, terutama sekali bagi golongan kanak-kanak dan
muda-mudi, tetapi tidak juga ketinggalan bagi golongan dewasa.
Antara
terma dan syarat pertandingan, ia dibukakan kepada Warganegara dan
Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam; terbuka kepada remaja dan
belia, berumur 15 hingga 30 tahun; dan setiap penyertaan hendaklah
terdiri daripada Ahli Perpustakaan.
Reka bentuk yang dihantar akan menjadi hak
milik DBP dan berhak untuk menerbitkan dalam apa jua bentuk, seterusnya
berhak untuk mengubah suai reka bentuk tersebut tanpa persetujuan
peserta berkenaan.
Semua penyertaan yang diterima selepas
tarikh tutup tidak akan dilayan dan peserta boleh menghantar lebih
daripada satu reka bentuk, tetapi hanya satu reka bentuk terbaik akan
dipilih untuk layak memenangi hadiah.
Selain itu, reka bentuk juga hendaklah
asli dan belum pernah disiarkan dari mana-mana bahan cetakan atau sumber
internet.
Pengisian kulit buku pula, hendaklah mengandungi maklumat,
seperti tajuk buku; nama penulis; dan ilustrasi atau reka bentuk kulit
buku.
Kulit buku itu juga hendaklah menggambarkan ilustrasi bagi
cerita-cerita, iaitu Sinopsis Arina Elizabeth oleh Amlhjhmdlah; Sinopsis
Takdir Kita oleh Amlhjhmdlah; Sinopsis Sempurna Bukan Dia oleh Bellofa;
dan Sinopsis Unwritten Love oleh Syafiqah Suhaimi.
Kriteria
penilaian adalah berdasarkan ketepatan dalam menggambarkan sinopsis
cerita buku yang dipilih mengikut syarat dan format yang diterangkan;
visual yang mempunyai ciri tersendiri dan mempunyai daya tarikan; dan
kreativiti dalam menggambarkan ilustrasi cerita.
Penyertaan
bolehlah dihantar melalui e-mel ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn' dengan
mengisi maklumat yang lengkap, iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan,
nombor telefon, e-mel dan Subjek : Pertandingan Mereka Bentuk Kulit
Buku Cerita.
Format penyertaan hendaklah dihantar dalam
format 'jpeg, png, .psd atau .pub' dan fail hasil karya yang dihantar
hendaklah berukuran 210 x 297 mm.
Bagi sebarang pertanyaan, hubungi talian
+673 2235501 sambungan 504 atau melalui Hotline +673 8266880 atau e-mel
ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn'.
Tarikh tutup penyertaan, Selasa, 15
Disember 2020, 11.59 malam.
Dipetik daripada Pelita Brunei