Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pemenang Peraduan Terima Hadiah

Pemenang peraduan terima hadiah 2.JPG

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Rabu, 25 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mempelbagaikan usahanya ke arah memperkembangkan lagi aktiviti dan kegiatan sastera dalam kalangan pelajar seluruh negara.

DBP secara berterusan mengungkayahkan peraduan-peraduan penulisan dalam usaha menarik minat, mengasah bakat, membimbing dan meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Bagi memupuk semangat untuk berkarya melalui penulisan, selain mengasah bakat yang sedia ada, maka DBP menganjurkan Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar dan Juara Pelajar setiap tahun sejak tahun 1984 dan kini ia telah memasuki usianya ke-36 tahun.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori 'A' (Majalah Mekar), Kategori 'B' dan Kategori 'C' (Majalah Juara Pelajar) dan Kategori 'D' (Majalah Naindung) yang dibukakan bagi penyertaan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah rendah dan menengah serta sekolah ugama di negara ini.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP, 2020 diadakan pagi tadi yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Johan Kategori 'A' dimenangi oleh Awang Muhammad Izzul Musyaffa bin Shirul Alimen dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong dengan tajuk karangannya, 'Hikmah Di sebalik Musibah'.

Bagi Kategori 'B' pula, johan disandang oleh Awang Srinazrul Haziq bin Srinarawie dari Sekolah Menengah Tanjong Maya dengan tajuk karangan, 'Adat Kematian Puak Dusun', manakala Dayang Nur Farahiyah Athirah binti Haji Md. Ali Hassan dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan pula muncul johan bagi Kategori 'C' dengan tajuk karangan, 'Gimbar'.

Sementara itu, tempat pertama bagi Kategori 'D' diraih oleh Dayang Srinazleeza Haziimatul binti Srinarawie dari Sekolah Ugama Bukit Udal dengan tajuk karangan, 'Pengajaran Buat Ahmad'.

Bagi penyertaan Sekolah Terbaik pula, Kategori 'A' dimenangi oleh Sekolah Rendah Katok 'A', Kategori 'B' diraih oleh Sekolah St Andrew, Kategori 'C' Sekolah Menengah Chung Ching Seria dan Kategori 'D' Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah.

Majlis turut diselajurkan dengan penghargaan penjualan Majalah Terlaris 2020, iaitu bagi Majalah Naindung diterima oleh Sekolah Rendah Lubok Pulau Tutong; Majalah Mekar diberikan kepada Sekolah Rendah Sungai Tali Lumut dan Majalah Juara Pelajar ialah Sekolah Menengah Chung Ching, Seria.

Pemenang peraduan terima hadiah 4.JPG

Hadir selaku tetamu khas majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Terdahulu, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa kemahiran menulis merupakan keupayaan intelek yang perlu dibentuk dan diterapkan dengan baik sejak kecil lagi. 

Oleh itu, jelasnya, DBP menjalankan beberapa bentuk program bengkel sebagai bentuk dorongan, sokongan dan bimbingan kepada penulis-penulis cilik terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Beliau menambah, DBP pada tahun depan akan melaksanakan Akademi Penulis : Kelab Penulis Kanak-kanak, yang bertujuan untuk membimbing para pelajar yang berminat dalam bidang penulisan khususnya karangan dan puisi.

"Dengan adanya bimbingan ini jelasnya, para pelajar akan dapat memperoleh ilmu baharu dan seterusnya dapat menyumbangkan hasil penulisan untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP," terang beliau.

Pihak urus setia peraduan telah menerima penyertaan daripada 33 buah sekolah rendah, iaitu sebanyak 106 buah karangan daripada 79 peserta bagi Kategori 'A' (Majalah Mekar), 15 buah sekolah menengah iaitu sebanyak 120 buah karangan daripada 112 peserta bagi Kategori 'B' (Majalah Juara Pelajar); 15 buah sekolah menengah, iaitu sebanyak 97 buah karangan daripada 88 peserta bagi Kategori 'C' (Majalah Juara Pelajar) dan 12 buah sekolah ugama iaitu sebanyak 43 buah karangan daripada 31 peserta bagi Kategori 'D' (Majalah Naindung).

Seramai enam orang pemenang bagi setiap kategori dipilih untuk menerima hadiah penghargaan berupa wang tunai, plak, sijil dan majalah berjilid (Naindung, Mekar dan Juara Pelajar).

Majlis penyampaian hadiah ini diadakan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka lebih jauh lagi tentang kemampuan penulisan masing-masing selain dapat melatih diri untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul, kemas dan tepat, sejajar dengan objektif peraduan ini diadakan.

Majalah Naindung, Mekar dan Juara Pelajar merupakan majalah kanak-kanak dan remaja yang diterbitkan oleh DBP, Brunei Darussalam sebagai wadah utama dalam memotivasikan dan mendorong penulis kanak-kanak dan remaja untuk menghasilkan karya-karya berkualiti. 

Selain itu, dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu, DBP melalui Bahagian Penerbitan dan Pemasaran juga giat menghantar majalah-majalah ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Dengan penerimaan dan sambutan yang menggalakkan, DBP memberikan penghormatan dan penghargaan kepada sekolah yang berjaya dalam penjualan majalah Naindung, Mekar dan Juara Pelajar terbanyak.

Selain penyertaan sekolah rendah dan menengah, pada tahun ini, peraduan ini dimeriahkan lagi dengan pertambahan satu lagi kategori iaitu Kategori 'D', yang dikhususkan bagi pelajar-pelajar sekolah ugama Darjah II hingga Darjah IV dengan menggunakan format tulisan Jawi.

Peraduan pada tahun ini juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari sekolah ugama, rendah dan menengah sama ada sekolah kerajaan atau swasta walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Pemenang peraduan terima hadiah 3.JPG

Acara juga dimeriahkan dengan persembahan Bicara Berirama dan Mari Bercerita yang dipersembahkan oleh penuntut-penuntut dari Sekolah Arab Rimba. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan melawat mini pameran.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/3/2020 3:31 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/3/2020 3:31 PM by Nisbah Binti Hj Merusin