Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

ASTERAWANI Pejuang Kesusasteraan, Persuratan Melayu

ASTERAWANI 3.JPG

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BERAKAS, Ahad, 15 November. - Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) memperlihatkan keutuhannya sebagai sebuah persatuan yang memperjuangkan kegiatan kesusasteraan dan persuratan Melayu sejak awal penubuhannya lebih 50 tahun lalu hingga ke hari ini.

ASTERAWANI 2.JPG

Sebagai persatuan penulis tertua di negara ini, ASTERAWANI tetap bergiat aktif mengungkayahkan pelbagai kegiatan dan projek yang memberi impak pada kemajuan kesusasteraan dan persuratan Melayu yang dilaksanakan, bukan sahaja di dalam negara, malahan juga aktif bekerjasama dengan persatuan-persatuan penulis seni dan budaya di luar negara.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapannya selaku tetamu kehormat, pada Mesyuarat Agung Ke-44 ASTERAWANI, di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Menurut beliau, ASTERAWANI mempunyai platform yang cukup jelas, strategik dan terarah dalam sama-sama membantu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga DBP menanai tanggungjawab untuk menggerak aktifkan bidang penulisan, kegiatan kesusasteraan dan persuratan Melayu di negara ini.

Beliau menambah, jalinan kerjasama strategik ini, akan memantapkan lagi segala usaha dalam menangani hal ehwal kesusasteraan dan persuratan Melayu di Brunei Darussalam.

"Lebih-lebih lagi, pada masa ini DBP, telah mengungkayahkan Program Penulis Muda yang memperlihatkan perkembangan positif, dalam dunia penulisan kreatif dan penerbitan.

"Kesan daripada program ini, telah dibuktikan dengan penyediaan ruang Suara Penulis Muda dalam Majalah Bahana yang diisi oleh peserta program," ujarnya.

Sebagai usaha DBP ke arah pemantapan program itu, jelas beliau, DBP berhasrat untuk menyediakan satu platform, iaitu kelas bimbingan secara berterusan, untuk melahirkan penulis-penulis pelapis yang mampu menghasilkan karya yang bermutu dan berkualiti.

"Usaha ini amatlah penting, dan begitu besar, dan saya percaya, dengan adanya kerjasama bersama persatuan-persatuan penulis di negara ini, termasuklah ASTERAWANI, perancangan mewujudkan kelas bimbingan ini akan dapat direalisasikan, terutama dalam penyediaan pakar dan pembimbing," katanya.

Beliau berharap, golongan remaja dan belia negara ini akan lebih giat mengikuti persatuan penulis tanah air kerana mereka akan banyak membantu mengukuhkan strategi-strategi persatuan penulis dalam pembinaan negara bangsa.

Sementara itu, Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Haji Tengah berkata, ASTERAWANI akan terus hidup dengan lebih berjaya jika persatuan berkenaan berhasil mencari ahli-ahli baharu yang lebih kreatif juga inovatif sebagai pelapis dan penerus bagi perjuangan persatuan itu, di masa akan datang.

Hal ini, beliau menambah, merupakan salah satu misi dan cabaran bagi Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang terpilih dalam mencari muka-muka baharu.

Terang beliau lagi, bagaimanapun kita tidak seharusnya berputus asa, di samping menjalankan tugas yang diamanahkan untuk mengerakkan ASTERAWANI, kita akan terus berusaha ke arah itu.

Pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah DBP turut merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Antara agenda yang dibentangkan semasa mesyuarat agung tersebut adalah Laporan-laporan oleh Setiausaha 1 dan Bendahari 1; Pembubaran Ahli Jawatankuasa Tadbir Tahun 2017 - 2020; dan Perlantikan Jawatankuasa ASTERAWANI 2020 - 2022.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/16/2020 2:36 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 11/16/2020 2:36 PM by Nisbah Binti Hj Merusin