Berita
dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
KUALA
BELAIT, Jumaat, 30 Oktober. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan
Pustaka Kampung Pandan menganjurkan Peraduan Azan Subuh bersempena
Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Peraduan
tersebut diungkayahkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah
Belait, bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada generasi masa kini
untuk sama-sama menghayati dan menyemarakkan bulan kelahiran Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan aktiviti yang menjurus kepada
keagamaan, dan pada masa yang sama, untuk memberikan peluang kepada
ahli perpustakaan untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebuah tempat
untuk menunjukkan bakat dan berkongsi ilmu kerana perpustakaan boleh
dikunjungi orang ramai secara percuma.
Selain itu, ia juga
dihasrat akan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai akan fungsi
perpustakaan, yang bukan sekadar tempat untuk membaca dan meminjam buku
sahaja, bahkan berbagai-bagai aktiviti juga kegiatan boleh diadakan di
perpustakaan dan menjadikan ia sebuah pusat komuniti yang bermanfaat
untuk semua golongan masyarakat, sekali gus mengeratkan hubungan
silaturahim di antara kakitangan, ahli-ahli perpustakaan, penduduk
Kampung Pandan dan pengunjung yang menyertai peraduan.
Penyertaan
dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Kanak-Kanak, berumur 7
hingga 11 Tahun; dan Kategori Muda-Mudi, berumur 12 hingga 20 Tahun,
masing-masing disertai oleh 14 kanak-kanak; dan 13 muda-mudi.
Dua
orang hakim dilantik, iaitu Imam Masjid Lorong 3, Seria, Awang Md.
Shahirwandy bin Haji Samsudin; dan Imam Masjid Pekan Seria, Awang Nor
Azhar bin Haji Harith.
Semasa temu bual Pelita Brunei bersama
Pemangku Penolong Pegawai Perpustakaan, Dayang Zaiton Haji Mohd.
berkata, melalui peraduan seumpama itu, secara tidak langsung dapat
mendekatkan peserta dengan aktiviti keagamaan dan bergiat aktif dalam
sama-sama memanfaatkan kewujudan perpustakaan.
Hadir menyempurnakan
penyampaian hadiah, Pemangku Ketua Unit Sirkulasi Perpustakaan BSB,
Awang Hadiyatullah bin Yahya.
Para pemenang peraduan menerima sijil
penyertaan dan wang tunai juga langganan majalah secara percuma selama
setahun, iaitu Mekar bagi para peserta Kategori Kanak-kanak; dan Juara
Pelajar bagi para peserta Kategori Muda-Mudi (remaja).
Dipetik daripada Pelita Brunei