Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

DOA KESYUKURAN SEMPENA HARI BELIA KEBANGSAAN

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Julai 2019 - Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) bertujuan untuk memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan mengumpulkan belia-belia di negara ini dalam satu perhimpunan dengan kegiatan yang bermakna.

Pada tahun ini, Sambutan HBK Kali Ke-14 dengan tema 'Belia Siaga Masa Depan' akan diadakan pada Sabtu, 3 Ogos 2019 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bersempena dengan sambutan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran (Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Bacaan Surah Yaa Siin, Bertahlil serta Doa Kesyukuran) bertempat di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Awang Rozisham bin Haji Chuchu, disusuli dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang diketuai oleh Bilal masjid tersebut, Awang Haji Mohd. Faqih bin Haji Mohd. Suni.

Manakala Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Majlis diakhiri dengan Solat Fardu Isyak berjemaah.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Kali Ke-14, 2019 dan Panel Penilai Anugerah HBK 2019.

Majlis turut disertai oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit; Persatuan-persatuan Belia; Pergerakan-pergerakan Belia; Rekrut Polis Diraja Brunei; Belia-Belia Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid; Ahli-ahli Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT); Pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB); Alumni Program Khidmat Bakti Negara; Alumni Program-Program Kebangsaan dan Antarabangsa, dan penduduk sekitar Mukim Kilanas.


Attachments
Created at 7/27/2019 9:58 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/27/2019 10:29 AM by Lee Chin Foo