[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin - Penerangan
Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS
BERAKAS, Sabtu, 20 Julai 2019- Kejohanan Pencak Silat 'Terbuka PERSIB' (Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam - PERSIB) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019 membuka tirai dengan Majlis Pembukaan Rasmi di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyempurnakan perasmian kejohanan, Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maidin bin Pengiran Haji Said.
Majlis juga menyaksikan upacara pembacaaan Ikrar Pesilat dan Ikrar Janji Wasit dan Juri, sebelum tetamu kehormat diperkenalkan kepada hakim-hakim, wasit dan juri juga pengurus-pengurus pasukan dan para peserta kejohanan.
Persembahan silat daripada Timbalan Yang Di-Pertua I, PERSIB, Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan menyerikan lagi majlis berkenaan.
Kejohanan selama lima hari bermula hari ini hingga 24 Julai nanti, disertai oleh 11 pasukan, termasuk pasukan dari dalam dan luar negara, iaitu Daerah Brunei dan Muara; Daerah Tutong; Daerah Belait; Daerah Temburong; Majlis Sukan ABDB; Majlis Sukan Polis Diraja Brunei; Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam; Wilayah Kuching, Sarawak; Rumpun Seni Silat Lawas, Sarawak; Rumpun Seni Silat Bintulu, Sarawak; dan Persaudaraan Setia Hati Teratai.
Sebanyak tujuh acara dipertandingan pada kejohanan kali ini, iaitu Seni Silat Cakak Asli; Kuntau; Tanding dan Seni Silat Beladiri; Tunggal; Ganda; Regu; dan Berkelompok.