Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

BELIA BERPERANAN SELAKU ARKITEK PEMBANGUNAN ASEAN

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita dan Foto: KKBS

VIENTIANE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAO, Jumaat, 19 Julai 2019 - Belia ASEAN senantiasa dan akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan pembangunan dan kemapanan rantau ini.

Melihat akan kepentingan ini maka para belia hendaklah dilengkapi dengan pemahaman yang jelas mengenai peranan dan sumbangan mereka dalam usaha untuk mencapai pembangunan mapan dan integrasi serantau.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN Ke-11 (AMMY XI) di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan sementara mewakili separuh daripada penduduk ASEAN, golongan belia selaku kelompok yang mempunyai tenaga yang tinggi dan sumber yang dinamik merupakan aset berharga kepada negara masing-masing, rantau dan juga global.

Di samping memberikan sokongan kepada tema Mesyuarat AMMY XI iaitu "Mempertingkatkan Peranan Belia ASEAN dalam Pembangunan Mapan dan Integrasi Serantau",  Yang Berhormat juga menekankan peranan penting AMMY dalam memastikan para belia, bukan hanya sekadar penerima manfaat kepada kedua perkara tersebut bahkan juga berperanan secara aktif selaku arkitek dalam pembangunan ASEAN lebih-lebih lagi dalam pelaksanaannya.  Dalam hal ini, pelaburan terhadap belia membawa maksud melabur untuk masa depan ASEAN.

190719-11thASEAN Ministerial meeting.2.jpg

Yang Berhormat seterusnya menekankan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus komited dalam melibatkan dan mengiktiraf pencapaian para belia melalui pendekatan senegara (Whole of Nation) dan juga mengongsikan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta di Negara Brunei Darussalam termasuk memperkasa dan penglibatan belia; menggalakkan keusahawanan belia; dan pendidikan berkualiti tinggi sejajar dengan keperluan global.

Dalam perkara ini, Yang Berhormat juga menyatakan adalah menjadi hasrat negara untuk menyemai dan memupuk belia yang energetik dan bersemangat kental, Negara Brunei Darussalam akan terus menyaksikan pembangunan yang signifikan dalam mencapai pembangunan mapan di dalam negara dan juga ASEAN. 

Dalam pada masa yang sama adalah penting bagi belia untuk terus bersedia dan mengikuti perkembangan teknologi ke arah Revolusi Industri Ke-4 dengan mempertahankan falsafah negara Melayu Islam Beraja sebagai individu yang lengkap.

Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN Ke-11 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Lao Youth Union, Tuan Yang Terutama Alounxai Sounnalath tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone.

Mesyuarat dihadiri oleh Menteri-Menteri Belia dan Ketua-Ketua Delegasi ASEAN serta Timbalan Setiausaha Agung untuk ASEAN Socio Cultural Committee. 

Yang Berhormat juga telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN+3 Ke-7.

Mesyuarat telah dimulakan dengan mesyuarat Preparatory Senior Officials Meeting for the AMMY XI dan Preparatory Senior Officials Meeting for the 7th ASEAN+3.

Di samping 11th AMMY, turut diadakan juga ialah 23rd ASEAN Youth Day Meeting, 11th ASEAN Youth Award dan 5th ASEAN Youth Expo 2019.  Penerima anugerah ASEAN Youth Award bagi Negara Brunei Darussalam ialah Awang Md. Iqbal Fakhri bin Awang Damit.

Sementara itu, Dayang Hajah Noor Monasliena binti Haji Md. Salleh dan Dayang Hajah Kartini Dewi Abdullah telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam 5th ASEAN Youth Expo 2019.

Yang Berhormat juga telah mengadakan perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Setiausaha Agung Lao Youth Union dan Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu.  Semasa perjumpaan, Yang Berhormat telah membincangkan hubungan kerjasama dua hala terutama dalam bidang pembangunan belia dan juga isu-isu yang berkepentingan.

Turut menyertai rombongan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Kuasausaha Sementara, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Laos, Awang Haji Abdul Rashid bin Haji Damit dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

190719-11thASEAN Ministerial meeting.1.jpg

Attachments
Created at 7/20/2019 9:17 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/20/2019 9:20 AM by Lee Chin Foo