Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Ke-26
Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam
09hb Rabiulawal, 1431 bersamaan 23hb Februari 2010
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Segala puji dan syukur hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua, atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-26 dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.
Kesyukuran kita ini adalah sebagai respon kepada peringatan Allah, ayat 7 surah Ibrahim, tafsirnya:
“Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.”
Ni'mat ini, semoga berkekalan, sehingga kegenerasi demi generasi. Itulah harapan kita.
Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: “Negaraku Brunei Darussalam.”
Ramai orang beranggapan, tema seperti ini, hanyalah tertentu untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara semata-mata. Kalau inilah saja, maka ianya belum lengkap lagi.
Turut lebih penting lagi ialah, apakah sumbangan kita untuk 'mengekalkan' ni'mat Allah, yang dikurniakan-Nya selama ini kepada kita dan negara?
Patriotisme dan cintakan negara, sering dilihat orang dari kulitnya saja, berupa ikrar-ikrar dan upacara-upacara kesukaan. Jarang orang melihatnya sampai ke lubuk-lubuk rahsia : bahawa ni'mat itu ditanai dengan syukur dan digilap dengan kerja-kerja takwa kepada Allah. Jika ini ada, maka barulah ada harapan untuk ni'mat itu berkekalan, sebagaimana janji Allah Subhanahu Wata'ala sendiri.
Maka bersukut dengan sa'at bersejarah ini, marilah kita sama-sama menghayati amal syukur dan amal takwa itu.
Selebihnya, kita adalah memerlukan prestasi perlaksanaan yang berterusan. Kita mahu, apa yang dirancang itu dilaksanakan dengan menepati jadual, bukan sekadar rancangan di atas kertas saja. Dan adapun anak kunci kepada semua ini, ialah “cara” kita melaksanakannya.
Diantara cara paling efektif ialah, perundingan yang berkesan diantara agensi-agensi berkaitan, misalnya ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid, kadang-kadang yang dijadikan alasan mengapa 'lambat', ialah, kerana ada halangan berkaitan dengan syarat-syarat tanah, atau tanah belum digezit dan seumpamanya.
Jika inilah alasannya, bukankah semua itu dari kerajaan jua? Sepatutnya kalau kerajaan sendiri yang berkehendak, tentu saja masalah itu tidak akan jadi sukar lagi. Tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa? Adakah kita betul-betul serius ataupun tidak? Jika lambat diperingkat bawah, adakah peringkat atas mahu turun padang berunding? Inilah masalah kita.
Dan inilah makanya mekanisme penyukat prestasi (key performance indicators) telah dibentuk untuk dipakai sebagai panduan oleh setiap agensi kerajaan.
Satu lagi keperluan dalam usaha kita membangun negara ialah keadaan alam sekitar. Tidak ada maknanya pembangunan pesat jika alam sekitar terjejas teruk. Kerana kita juga terus memerlukan tanah yang subur, udara yang bersih, air minum yang bersih, malah air laut yang bersih yang tidak tercemar. Kerana inilah sumber kesejahteraan yang sebenar-benarnya.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita menyegerakan penggubalan undang-undang atau peraturan bagi pembangunan lebih terkawal. Pada misalnya kita perlu menguatkuasakan mekanisme 'Environmental Impact Assesment' dan lain-lain seumpamanya bagi projek-projek pembangunan.
Turut penting juga untuk disebut ialah hal ehwal kewangan. Baru-baru ini Kerajaan Beta telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit. Langkah ini menarik perhatian pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang diperkatakan ramai.
Tujuan Kerajaan ialah supaya kita sama-sama memahami, bahawa kemewahan hidup yang disandarkan kepada hutang yang bertumpuk-tumpuk merupakan kemewahan yang rapuh, dan malah, akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang.
Walaupun pada peringkat awalnya, perkara ini mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan, namun pihak Kerajaan adalah percaya, tindakan ini sungguh tepat, demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini pada jangka waktu yang jauh.
Ini, adalah satu dari strategi kita dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu dari 3 tiang utama Wawasan Brunei 2035.
Negara memerlukan dasar-dasar ekonomi yang lebih teratur, mantap dan menarik, serta juga iklim pelaburan yang kondusif yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perekonomian secara keseluruhan.
Demikian juga, usaha-usaha adalah perlu, bagi membolehkan kita mengimbangi kekurangan dalam pasaran domestik, serantau mahupun global, serta menukarkannya kepada situasi yang lebih positif dan menguntungkan.
Pada akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.
Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-26 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Marilah kita sama-sama menadah tangan dan memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, supaya negara dan kita semua, sentiasa dilimpahkan dengan berkat dan rahmat-Nya, amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.