Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 2005
Sempena Ulangtahun Ke-21 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
ALHAMDULILLAHI Rabbil Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Ala Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’aaa Aalihiee Wasahihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat-Nya juga dapatlah kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-21 ini dalam suasana aman dan bahagia.
Sudah lebih 20 tahun kita menikmati kemerdekaan dan kedaulatan. Dalam tempoh tersebut, kita telah membangun dan memajukan negara ini dengan sepenuh hati dan semangat.
Beta merasa amat bangga dengan usaha-usaha pembangunan oleh rakyat selaku warga masyarakat antarabangsa yang prihatin.
Mereka telah mempamerkan cirri-ciri kematangan dalam bernegara yang ditunjukkan melalui gaya hidup lebih maju dan berdikari.
Sikap bangsa yang demikian inilah yang diperlakukan oleh sesebuah negara merdeka. Kerana tanpa sikap maju serta prihatin itu, negara hanya akan kekal di takuk yang lama atau ia mesti bersedia untuk menerima celaan.
Usaha-usaha kita mengisi kemerdekaan adalah dengan mengambil bentuk proses evolusi. Namun ia tetap cergas dan berterusan. Kerana itu, apa-apa jua yang kita capai atau perolehi adalah sentiasa relevan kepada kehendak dan keperluan negara.
Usaha-usaha ini berjalan serentak melalui pembangunan rohani dan fizikal secara seimbang. Ia tidak boleh pincang dalam kita menjana dan membina ummah.
Sebagaimana juga kita mempersiap dan menyediakan infrastruktur asas untuk kehidupan seperti perumahan, jalan raya, elektrik, air, bangunan-bangunan dan seumpamanya, maka begitulah pula halnya dengan jiwa, semangat dan pemikiran adalah memerlukan tarbiah langsung oleh negara. Maka untuk itu, bidang pendidikan dan dakwah adalah memainkan peranan yang utama. Sebab itulah jentera pendidikan dan dakwah itu tidak boleh sama sekali lemah.
Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan agama. Dalam makna, pendidikan agama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas, pendidikan agama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan. Kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan agama lemah, maka akan lemah pulalah bangsa.
Menyentuh mengenai pembangunan negara yang mantap, ia adalah sangat bergantung kepada jentera Perkhidmatan Awam yang dapat memenuhi keperluan dan harapan masyarakat. Lalu untuk itu, kerajaan beta telah mewujudkan satu Wawasan Perkhidmatan Awam Abad K-21.
Setiap agensi kerajaan hendaklah memastikan diri masing-masing dapat mencapai matlamat wawasan tersebut.
Semua kementerian dan jabatan kerajaan dikehendaki mengenai pasti isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional bagi dibincang dan seterusnya diselaraskan bersama-sama.
Demikian juga ikatan yang kukuh di antara kerajaan dan rakyat serta penduduk perlulah pula wujud, untuk merealisasikan lagi kejayaan-kejayaan yang telah dan akan dicapai.
Untuk itu kerajaan beta adalah sentiasa menyambut baik pandangan-pandangan yang bernas daripada kalangan rakyat jelata, tentang bagaimana cara-cara yang munasabah untuk mempertingkatkan lagi mutu pengendalian kerajaan di bidang-bidang pembangunan dan pentadbiran.
Dan inilah juga makanya Majlis Mesyuarat Negara diadakan semula, sebagai wadah kearah penglibatan rakyat yang lebih formal dalam menyalur atau mengemukakan buah fikiran dan cita rasa mereka.
Walaupun kita menumpukan tenaga kepada soal-soal dalaman, namun hal ehwal serantau dan antarabangsa tetap pula tidak diabaikan.
Semenjak kita mencapai kemerdekaan, kita juga telah turut memikul tanggungjawab selaku warga masyarakat antarabangsa yang berdaulat.
Kita telah sama-sama menghadapi dan menangani ujian-ujian semasa seperti krisis-krisis ekonomi, keselamatan, kesihatan dan juga bencana-bencana alam yang melanda rantau kita ini di dalam masa satu dekad.
Di sepanjang detik-detik kerumitan tersebut, kita telah banyak memilih jalan kita sendiri, dengan berperang kepada posisi sendiri, dengan berpegang kepada posisi sendiri. Namun begitu, kita juga sentiasa terbuka untuk menilai dan mendengarkan pandangan-pandangan daripada negara-negara lain.
Proses berdialog, berbincang dan bekerjasama tetap menjadi asas kepada dasar hubungan kita dengan negara-negara lain.
Pada akhirnya, marilah kita memelihara kemerdekaan negara dan bangsa ini dengan doa dengan rasa syukur yang mendalam terhadap Allah Subhanahu Wataala, semoga Dia mengekalkannya serta melindungi kita daripaa sebarang kehendak dan rancangan-rancangan jahat musuh untuk memporak-perandakan ketenteraman dan kemakmuran negara.
Beta mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-21 Hari Kebangsaan dan semua peserta dan petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta juga tidaklah lupa untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas.
Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.