Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 2003
Sempena Ulangtahun Ke-19 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Kita bersyukur Ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke19 dalam suasana aman dan sejahtera.
Seperti mana yang beta sering tekankan, bahawa keamanan dan kestabilan adalah mempunyai harga yang tersendiri dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.
Lebih-lebih lagi kita akan dapat memaham harga keamanan itu, manakala berhadapan dengan pergolakan dunia yang sedang mengancam umat manusia pada hari ini.
Rantau ASEAN juga adalah tidak terkecuali dari turut dilanda oleh kejadian-kejadian yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan.
Dalam menghadapi apa juga ancaman, pendirian Negara Brunei Darussalam adalah tegas, tidak memberikan sokongan atau restu kepada setiap perbuatan yang boleh menjejaskan keamanan, dalam apa jua bentuknya.
Kita selamanya berpegang kuat kepada prinsip keadilan dan keamanan yang dipertahankan oleh semua anggota masyarakat antarabangsa.
Kita di Negara Brunei Darussalam sekali-kali tidak mengabaikan usahausaha untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman, yang menjadi punca kepada kemakmuran. Pembangunan yang berkesan, hanya akan boleh dicapai dengan adanya keamanan.
Di samping faktor keamanan, semangat cintakan negara juga mestilah dimiliki oleh setiap rakyat. Kerana semangat patriotisme itu adalah merupakan bahan bakar yang amat diperlukan. Tanpa adanya bahan bakar ini, segala jentera tidak mungkin berfungsi.
Begitulah keadaan tabiat manusia, memerlukan rangsangan dari dalam untuk mereka dapat berbakti dan berkorban terhadap negara.
Dengan berbekalkan patriotisme di dada, kita semua akan serentak mendukung perpaduan. sambil membangun negara ini dengan cara kita sendiri.
Kita akan bertolak dari asas yang sama, iaitu sikap saling hormat-menghormati, toleransi dan berawargalat serta mematuhi ajaran-ajaran Islam selaku tunggak utama kepada keharmonian dan kesejahteraan bangsa.
Inilah kunci yang menentukan kita mampu bersaing di arena dunia antarabangsa yang serba mencabar ini.
Kerajaan beta dalam pada itu memberikan perhatian yang serius kepada usaha-usaha untuk memajukan tahap sosioekonomi negara.
Usaha sedemikian sangat bergantung kepada rakyat yang berilmu dan berkemahiran. Kerana tanpa ilmu dan kemahiran, tidak mungkin dicapai sebarang kemajuan.
Maka sehubungan ini, kerajaan beta akan terus memastikan bahawa sistem pendidikan kebangsaan kita adalah relevan bagi memenuhi semua kehendak dan keperluan negara.
Kita masih perlu berusaha untuk mencapai infrastruktur pendidikan sehingga ke tahap yang sebaik-baiknya.
Beta gembira, kerana penglibatan sektor swasta dalam mengembangkan pendidikan secara proaktif di negara ini, adalah amat menggalakkan, terutama sekali dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan, khasnya di peringkat ijazah dan diploma.
Perkhidmatan sedemikian memberikan pilihan kepada para pelajar dan belia untuk meneruskan pengajian mereka ke tahap ijazah dan diploma yang diiktiraf oleh antarabangsa, dengan perbelanjaan yang termampu di dalam negara.
Walau bagaimanapun, keperluan bagi pembangunan dan kemakmuran bukanlah semata-mata bergantung kepada tenaga manusia yang berkemahiran sahaja.
Kita juga memerlukan jumlah pekerjaan yang mencukupi supaya dapat dielakkan pembaziran tenaga manusia dan seterusnya membolehkan setiap ahli masyarakat menikmati kehidupan produktif yang tidak membosankan.
Kita sedia menyedari akan masalah pengangguran yang dihadapi oleh negara.
Selama ini, sektor kerajaan merupakan majikan yang terbesar di negara ini.
Pergantungan sepenuhnya kepada sektor kerajaan bagi menampung keperluan pekerjaan, tidaklah dapat bertahan lama bagi jangka masa yang berterusan.
Oleh itu, membangun serta memantapkan sektor swasta adalah merupakan alternatif utama dalam menangani masalah pengangguran melalui pewujudan pembangunan ekonomi yang berdaya tahan lagi berterusan. Inilah satusatunya cara supaya kita dapat menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan.
Sebagai salah satu langkah utama terhadap pembangunan sektor swasta dan ekonomi, kerajaan beta melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei telah melancarkan satu inisiatif baru yang dijangka akan membangunkan dua tapak perindustrian di Sungai Liang dan Pulau Muara Besar.
Dengan perlaksanaan inisiatif ini, imej negara sebagai destinasi pelaburan akan dapat ditingkatkan dan insya-Allah, akan menambahkan juga keyakinan para pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Cadangan bagi pembangunan industri di tapak-tapak tersebut juga dijangkakan dapat menambahkan lagi peluang-peluang pekerjaan.
Di samping itu, kita juga berharap, kerja-kerja membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk industri-industri yang besar ini, akan menghasilkan pelbagai industri sampingan terutamanya di dalam sektor-sektor perkhidmatan.
Kita juga penuh yakin bahawa sektor swasta akan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar serta bersikap proaktif dengan meneroka dan merebut peluang-peluang yang ada ke arah menggerak serta mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam pada itu, beta juga ingin mengingatkan anggota-anggota Perkhidmatan Awam supaya sentiasa peka terhadap keperluan sektor swasta terutama sekali memastikan semangat berdikari rakyat dan penduduk di negara ini terus meningkat dan tidak dilemahkan oleh pengurusan yang kurang cekap, malah hendaklah sentiasa turut dirangsang melalui komunikasi dua hala yang sihat.
Kepada para belia, sikap tidak gemar sebahagian mereka dengan bidang kerjaya di sektor swasta perlulah dikikis dan sebaliknya digantikan dengan sikap dedikasi dan komitmen kepada kerja tanpa memilih siapa majikan, sama ada kerajaan atau swasta.
Akhirnya, beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan dan para peserta di dalam acara yang dikendalikan.
Kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuklah semua peringkat di dalam perkhidmatan awam kerajaan pasukan- pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta tidak lupa merakamkan penghargaan di atas usaha mereka yang ikhlas di dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.