Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 2002
Sempena Ulangtahun Ke-18 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammadin Wa’ alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’ een Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat­Nya mengurniakan kita peluang untuk menyambut hari-hari yang bersejarah, sama ada ianya hari yang berkaitan dengan agama ataupun bukan.

Pada tahun ini merupakan tahun yang sungguh istimewa, kerana ‘dua’ hari yang bersejarah dapat sama-sama dirayakan dengan serentak iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Kebangsaan Ke-18.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Aidiladha pada tahun ini turut menyaksikan keadaan umat yang kurang ceria, disebabkan dari beberapa kesan krisis dan pergolakan di mana-mana.

Dunia adalah seolah-olah sempit, apabila semua pihak tidak dapat lagi melepaskan diri dari merasakan bahangnya.

Namun alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya Lagi Maha Luas Rahmat-Nya, di tengah-tengah kekusutan serta fikiran-fikiran yang berserabut itu, kita umat Islam masih ada cara untuk mengatasi ketegangan-ketegangan yang ada iaitu di antaranya dengan melakukan ibadat-ibadat kepada Allah.

Pada lO Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia akan melakukan sembahyang Aidiladha, manakala di Mekah Al-Mukarramah pula, mereka itu sedang menjalankan ibadat haji.

Kedua-dua ibadat ini akan menjadikan orang-orang Islam bulat serta hampir dengan Allah Subhanahu Wataala. Dan sebagai natijahnya, sesiapa juga yang bulat dan hampir dengan Allah, maka orang tersebut dengan sendirinya akan masuk dalam jaminan Allah sebagai orang yang dikurniakan ketenangan. Jiwa mereka menjadi tenteram serta sejahtera kerana ibadat itu.

Insya-Allah, kita orang-orang Islam akan tetap terubat dan terpelihara dengan adanya ibadat-ibadat yang disyariatkan itu.

Marilah kita berdoa semoga umat Islam sama-sama dipelihara dan dilindungi oleh Allah, khasnya para jemaah di Mekah pada masa ini.

Beta dan keluarga beta, dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat dan penduduk negara ini yang beragama Islam, di mana juga mereka berada.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Walillahi Hamd.

Kemudian kita beralih kepada Hari Kebangsaan. Pada tahun ini tema sambutan Hari Kebangsaan kita ialah MEMPERKASA KEUPAYAAN BANGSA.

Ianya membawa maksud mempertingkatkan keupayaan atau martabat kita sebagai bangsa Brunei yang berdaulat lagi merdeka dan selaku anggota masyarakat antarabangsa, pada menghadapi pelbagai cabaran, dalam era yang sentiasa mengalami perubahan dan keadaan tidak menentu.

Mempertingkatkan keupayaan bangsa atau negara itu adalah mustahak pada menentukan kemajuan, kejayaan dan kecemerlangan sesebuah negara, lebih-lebih lagi dalam konteks perkampungan global yang kompetitif serta tidak bersempadan.

Di arena antarabangsa khususnya di bidang perniagaan, sebagai misalnya, keupayaan pada mengenal pasti adanya peluang-peluang perdagangan dalam sektor atau industri yang tertentu sangatlah berguna untuk membolehkan sebuah negara itu mempunyai kelebihan, yakni ‘competitive edge’ dan dapat mendahului atau mengatasi saingan dari negara yang lain.

Bagi maksud meningkatkan keupayaan tersebut, kita perlulah menilai, mengenal pasti dan mengatasi sebarang kelemahan atau kekurangan kita serta mengambil iktibar akan pengalaman dan perjalanan yang telah ditempuh oleh masyarakat dan bangsa lain yang telah berjaya dan maju.

Yang demikian itu sudah barang tentunya memerlukan komitmen dan ketabahan semua pihak, bukan saja setakat menyerahkannya kepada kerajaan atau sektor swasta, tetapi hendaklah sama-sama berganding bahu pada menanai tugas dan tanggungjawab ini secara bersepadu.

Seperti kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Apa juga bangsa dan negara itu, mereka perlulah berpandangan jauh, bijaksana, bersatu dan komited dalam merancang serta melaksanakan strategi pembangunan dan kemajuannya.

Dalam hubungan ini, salah satu usaha kita pada meningkatkan keupayaan bangsa dan negara ialah melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 bagi tempoh tahun 2001 hingga tahun 2005.

Ianya merupakan fasa ke-4 dan terakhir dalam rancangan pembangunan negara jangka panjang yang telah dimulakan kira-kira 16 tahun yang lalu.

Bagi tahun 2002 ini, kerajaan telah menambah peruntukan kemajuan sebanyak 82 peratus yang membawa kepada 1 bilion ringgit untuk menguatkan lagi kegiatan ekonomi, bagi sasaran kadar pertumbuhan yang lebih positif.

Rancangan Kemajuan Negara kali ini memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi yang seimbang serta pemesatan pembangunan sumber manusia dan mengembangmajukan perusahaan-perusahaan melalui peningkatan pelaburan dalam dan luar negeri.

Di samping itu, ianya menggalakkan kemajuan perkhidmatan-perkhidmatan termasuk perkhidmatan kewangan dan pelancungan serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas.

Sesungguhnya program-program yang terkandung di dalam Rancangan Kemajuan Negara itu adalah semata-mata dihasratkan untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara kita.

Insya-Allah ini akan dapat dicapai melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang lebih berdaya tahan, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperbesarkan saiz sektor swasta dan sekali gus meningkatkan penglibatan secara aktif pengusaha-pengusaha tempatan.

Maka ke arah ini penglibatan bersama di antara sektor kerajaan dan sektor swasta adalah sangat mustahak, lebih-lebih lagi pada menggalakkan pelaburan asing, selain dari meningkatkan pelaburan dalam negeri, terutama sekali di dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Demikian pula perhatian terhadap penguasaan dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT perlulah terus diutamakan, sebagai salah satu usaha memperkasa keupayaan bangsa.

Kerajaan telah melancarkan beberapa projek yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk ‘e-government’ bagi meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan.

Maka bersempena Hari Kebangsaan kita ini, marilah kita sama-sama memperbaharui azam dan tekad untuk terus bersatu padu mempertahankan keamanan dan kestabilan negara serta menjaga keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk, seperti mana yang telah sekian lama kita nikmati.

Janganlah hendaknya usaha-usaha pada memperkasa keupayaan bangsa itu tergugat oleh gejala-gejala sosial yang tidak diingini seperti keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

Agensi-agensi yang berwajib hendaklah meningkatkan usaha mereka pada menangani masalah-masalah sosial, supaya ianya tidak melarat sehingga memudaratkan bangsa dan negara.

Keupayaan kita sebagai bangsa yang merdeka hendaklah diperkuat lagi dengan mengukuhkan institusi keluarga serta menjaga keharmonian dalam hidup berumah tangga, bermasyarakat dan bernegara, di samping tekun menjalankan suruhan agama dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Perjalanan yang dilalui memang tidak sunyi daripada pelbagai cubaan dan rintangan, namun berkat keimanan yang disusuli dengan usaha-usaha gigih kita, maka insya-Allah, semua matlamat dan cita-cita murni untuk negara dan bangsa akan dapat disaksikan kejayaannya.

Kita berdoa semoga segala rancangan kemajuan dan program yang diusahakan itu akan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala jua, Amin Ya Rabbal ‘Alameen.

Akhirnya, beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Semoga Allah Subhanahu Wataala akan memberkati dan membalas sumbangan ikhlas segenap pihak yang turut menjayakan sambutan tersebut.

Beta tidak lupa juga merakamkan penghargaan yang tulus ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta sektor swasta, di atas segala usaha dan sumbangan mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.