Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 2000
Sempena Ulangtahun Ke-16 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah subahanahu wa Ta’ ala kerana dengan izin-Nya juga dapatlah kita menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini, di alaf baharu, buat pertama kalinya.
Telah banyak perkara dan pengharapan disuarakan mengenai kehidupan di alaf baharu ini.
Ada yang mengaitkannya dengan berbagai-bagai cabaran dan ujian, iaitu sebagai peringatan supaya warga dunia ini dapat menghadapinya dengan penuh kejayaan dan selesa.
Khusus bagi warga Brunei, kita melihatnya dari beberapa sudut, terutamanya yang berkaitan dengan survival bangsa, supaya ianya terus-menerus wujud dan mantap.
Maka ke arah ini, kita memerlukan jati diri yang besar dan yang mampu menghadapi segala-galanya.
Pada hemat beta, kita telahpun memilikinya. Hanya yang tinggal ialah langkah kita mempertahankannya.
Intipati daripada jati diri ialah sikap dan semangat taat beraja, kuat beragama, bersopan santun, elok budi bahasa, gigih dan titih serta rajin berusaha.
Ini semua adalah objektif dan cita-cita yang sukar dicapai oleh sesiapa juga, sama ada ia negara kecil ataupun besar. Tetapi alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah dapat memperolehnya berkat ciri-ciri luhur yang kita amalkan, dengan agama Islam sebagai kemudinya.
Dalam alaf baharu ini, kita juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan berbagai-bagai arus perubahan dan perkembangan dunia.
lni semua turut memerlukan kita supaya lebih teguh lagi berpegang kepada jati diri, agar ombak badai daripada perubahan dan perkembangan itu tidak dapat memperkotak-katikkan kita.
Hala tuju perjalanan kita adalah terus berfokas kepada beberapa perkara dan agenda.
Antara agenda yang paling mustahak ialah, agenda keselamatan dan agenda kesejahteraan.
Kedua-dua agenda ini sebenarnya sudah pun lama wujud dan sebati, iaitu sejak Rancangan Kemajuan Negara yang pertama lagi.
Namun demikian, kita masih tidak jemu-jemu untuk memberikan penekanan dan tumpuan kepada kedua-dua agenda berkenaan, semata-mata untuk menunaikan komitmen kerajaan, pada mengekalkan kestabilan negara, serta mempertingkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat dan penduduk.
Kita bersyukur kerana usaha-usaha ke arah pemulihan ekonomi negara telah dapat dijalankan, setelah melalui kesan-kesan kegawatan ekonomi serantau.
Namun demikian, pergantungan negara kepada hasil minyak dan gas masih saja ketara.
Keadaan sedemikian dijangka akan berterusan, selagi tidak terdapat industri-industri yang dapat menyaingi, atau menjadi alternatif kepada industri minyak dan gas tersebut.
Perkara ini juga tidak syak lagi menjadi satu ujian dan cabaran kepada kita.
Dalam hubungan ini, pembangunan sumber tenaga manusia merupakan salah satu aspek terpenting dalam memulakan apa jua industri dan perusahaan.
Adalah mustahak bagi agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan memainkan peranan pada mengenal pasti industri yang dapat meningkatkan pendapatan negara, serta dapat pula memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Perkara-perkara lain, kita juga perlu memastikan bahawa proses globalisasi yang mewarnai alaf baharu ini tidak akan menjejaskan kepentingan negara.
Proses globalisasi yang dicetuskan oleh kemajuan teknologi, khususnya teknologi maklumat, walaupun sering dikaitkan dengan unsur negatif, dan dikatakan membawa kerumitan, namun ada juga sudut positifnya.
Sebagai misalan, ia boleh dilihat sebagai memberikan peluang pasaran yang lebih luas untuk dimanfaatkan, terutama sekali di kalangan pengusaha kita.
Proses globalisasi ini berperanan memperluas pasaran tanpa dibatasi sempadan. Sama ada suka atau tidak, bukanlah menjadi option atau pilihan lagi.
Di kebanyakan negara dunia dan serantau, sektor kerajaan bertindak selaku pemudah cara dan regulator, manakala sektor swasta berperanan sebagai penggerak ekonomi.
Kerjasama erat dan padu di antara kerajaan dan swasta amatlah mustahak untuk menentukan negara ini dapat menarik pelabur-pelabur bagi melabur di dalamnya.
Dalam hubungan ini, Brunei Darussalam selaku tuan rumah Persidangan APEC pada tahun ini, tidak syak lagi akan menghadapi tugas dan tanggungjawab yang berat.
Ia adalah satu ujian besar sejauh mana negara mempunyai keupayaan untuk memimpin perundingan-perundingan yang membabitkan beberapa kuasa dunia dan serantau.
Persidangan ini juga memerlukan kita untuk menggembleng tenaga pada memastikan yang ianya akan berjalan dengan baik dan lancar, sehingga dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.
Di samping itu, persidangan ini juga akan turut memberikan peluang kepada negara-negara Asia-Pasifik untuk meninjau Brunei Darussalam dengan lebih dekat.
Dalam masa yang sama, yang juga tidak kurang pentingnya ialah, bagi usahawan-usahawan kita untuk menjalin rangkaian kerjasama perniagaan dengan rakan-rakan ahli negara-negara Asia-Pasifik.
Semua ini adalah sejajar dengan usaha pada mempelbagaikan ekonomi negara, serta membukakan peluang yang terbaik dari segi urusan perniagaan kepada para usahawan di negara ini.
Pada mengakhirinya, beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa tertinggi serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan yang dikendalikan.
Semoga Allah subhanahu wa Ta’ ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas segenap pihak yang menjayakan sambuatan ulang tahun hari kebangsaan pada kali ini.
Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha mereka yang iklas di bidang masing-masing.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualafkum warahmatullahi wabarakatuh.