Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1999
Sempena Ulangtahun Ke-15 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Was-Salatu ‘Ala Asyrafil Mursalin Sayyidina Muhammadin wa ‘Ala ‘Aalihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-14 dalam keadaan negara terus menikmati keamanan.
Tidak ada yang lebih bererti ketika kita memasuki alaf baru ini, dari berbekalkan keamanan. Hanya dengan keamanan saja, kita dapat mencapai apa jua yang kita kehendaki.
Perkara ini lebih nyata lagi dengan memerhatikan keadaan yang ada, iaitu di mana saja keamanan itu tidak dapat dijelmakan dalam sesebuah negara, maka negara tersebut akan mengalami berbagai kemelut yang menyertainya kepada bermacam-macam penderitaan. Kerana itulah, keamanan dinamakan asas segala-galanya dan aset yang mencorakkan kehidupan.
Oleh itu, setiap bangsa yang sedar akan perkara ini, pasti terdorong untuk berkorban apa saja bagi mempertahankan keamanan itu.
Beta berharap, kita di negara ini pun demikian juga hendaknya.
Satu lagi perkara yang sangat perlu untuk disebut ialah mengenai krisis mata wang yang melanda Asia serta ramalan tentang ekonomi yang malap.
Pergolakan ini, mestilah kita jadikan iktibar supaya setiap orang tidak memandang ringan terhadap kemakmuran yang sedang kita nikmati selama ini.
Begitu juga, perkara ini seharusnya akan menambahkan lagi komitmen kita terhadap usaha-usaha pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan dari masa ke semasa.
Juga dari krisis ini, kita perlu mengambil pengajaran yang mendalam, betapa keadaan itu boleh berubah dengan cepatnya serta menjadi tidak selesa di negara-negara yang terlibat teruk. Ia tidak syak lagi merupakan kemelut paling serius sejak Perang Dunia Kedua.
Daripada pengalaman ini, akan turut pula mengajar kita untuk bagaimana mengamalkan dasar-dasar kewangan yang cermat, serta mengambil langkah-langkah yang konkrit mengenainya. Langkah-langkah yang dimaksudkan itu, bukan semata-mata mengenai dengan penjimatan perbelanjaan, akan tetapi juga termasuk langkah-langkah meningkatkan penghasilan dan pendapatan negara.
Insya-Allah, untuk kepentingan rakyat dan penduduk, maka program-program pembangunan yang berupa rancangan-rancangan kerajaan, termasuk pertahanan, pembinaan perumahan, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan, infrastruktur asas, pengangkutan dan perhubungan, akan tetap mendapat perhatian yang sewajarnya.
Di samping itu, rakyat pula mustahaklah mengemaskan diri dengan berbagai-bagai kemahiran, sebagai sumbangan paling bermakna kepada negara.
Pada masa ini, terdapat sebilangan rakyat dan penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan. Di antara sebab yang telah dikenal pasti, ialah kerana kurang memiliki kelayakan-kelayakan yang diperlukan bagi satu-satu jawatan itu, khasnya di dalam sektor swasta.
Oleh itu, beberapa program yang bersesuaian yang sudah pun ada pada masa ini, perlulah ditingkatkan lagi untuk membantu mereka memperolehi kelayakan dan kemahiran itu.
Dalam pada itu, perlu juga diperbaiki sikap setengah-setengah yang tidak gemar dengan bidang kerja di sektor swasta. Sikap ini ternyata merugikan, bukan saja kepada pemiliknya, malahan juga kepada negara.
Bagi rakyat tempatan, perkara ini mustahak difahami dengan bersungguh-sungguh, bahawa walaupun kita menggunakan tenaga luar, namun peluang-peluang yang ada mestilah direbut terlebih dahulu oleh rakyat dan penduduk negara ini. Kita akan lebih bangga sekiranya apa jua bidang kerjaya itu, sama ada ia di sektor kerajaan atau sektor swasta, dipegang oleh anak-anak tempatan sendiri.
Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan perkara ini sebahagian dari wawasan negara. Lahirkan budaya mencintai kerja, dengan tidak memilih siapa majikan, kerajaan atau swasta.
Kita mulakan ia dari sekarang untuk dicontohi oleh generasi akan datang.
Kita hidupkan azam selaku bangsa yang merdeka, dengan keutamaan untuk perpaduan, supaya terjaminlah masa depan yang panjang yang kita bina dengan tenaga dan semangat yang satu, dengan tidak sedikit pun memberikan peluang kepada anasir-anasir yang tidak diingini.
Kita pelihara dan bangunkan negara dengan iringan doa, semoga ia terus diberikan perlindungan oleh Allah, dimakmurkan-Nya dengan rahmat dan nikmat serta rezeki yang mantap.
Beta berharap, semua orang akan mendukung konsep membangun sambil berdoa ini, kerana kita sebenarnya, tidak dapat berdiri sendiri tanpa bantuan Allah.
Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan.
Semoga Allah Subhanahu wa Ta ‘ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas pihak-pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.
Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.
Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.