Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1997
Sempena Ulangtahun Ke-13 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Was-Salatu ‘Ala Asyrafil Mursalin Sayyidina Muhammadin wa ‘Ala ‘Aalihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita semua untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita yang ke-13.

Kita hendaklah menginsafi, bahawa peluang ini adalah suatu nikmat dan kurnia Allah semata-mata. Maka oleh itu, syukurilah nikmat dan kurnia tersebut dengan ketaatan jua, supaya ia bertambah subur dan berkekalan.

Salah satu tuntutan kemerdekaan itu ialah membangun dan memakmurkan negara. Pembangunan, khasnya dalam era yang semakin mencabar ini adalah memerlukan kita bekerja lebih keras lagi pada melipatgandakan usaha pembangunan tersebut.

Sebenarnya di negara kita, usaha-usaha ke arah pembangunan jangka panjang telahpun bermula sebelum negara mencapai semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat. Rancangan pembangunan jangka panjang negara 20 tahun Beta perkenankan yang telah dimulakan pada tahun 1985.

Sudah setentunya matlamat jangka panjang pembangunan negara itu ialah untuk kesejahteraan serta peningkatan kualiti hidup rakyat dan penduduk di samping untuk meningkatkan pencapaian ekonomi.

Dalam hubungan itu, kita telah mengadakan Rancangan Kemajuan Negara Ketujuh iaitu bagi tahun 1996 hingga tahun 2000 sebagai sebahagian daripada perlaksanaan rancangan pembangunan negara jangka panjang itu.

Bagi melaksanakan projek-projek yang telah dirancangkan dalam Rancangan Kemajuan Negara itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan sejumlah tujuh ribu dua ratus juta ringgit.

Ke arah mencapai matlamat jangka panjang pembangunan negara, Beta percaya perkembangan sosioekonomi yang seimbang adalah mustahak untuk diwujudkan.

Demikian juga, tidak kurang pentingnya ialah usaha-usaha pada mempelbagaikan ekonomi, menyediakan infrastruktur dan kemudahan-­kemudahan awam yang teratur, perlaksanaan kemajuan sumber tenaga manusia yang berkesan, perlaksanaan projek-projek bagi perkembangan sosial dan kemasyarakatan, penggunaan teknologi yang bersesuaian dan pengawalan mutu alam sekitar yang berterusan.

Usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi telahpun dikenal pasti dan juga sering disebut sejak dulu lagi.

Bagaimanapun, penekanan pada kali ini adalah lebih kepada penglibatan negara kita dalam arena perdagangan luar memandangkan betapa mustahaknya perdagangan luar itu diberikan perhatian oleh negara-negara dunia hari ini.

Perusahaan-perusahaan dalam negeri tidaklah boleh bergantung semata-mata kepada pasaran dalam negeri sahaja, malahan harus pula mengambil peluang-peluang pasaran serantau dan antarabangsa.

Dengan adanya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN yakni AFTA, terutama sekali melalui penyertaan negara dalam BIMP-EAGA, serta penglibatan yang dinamik dan efektif oleh pihak swasta, maka Beta berharap usaha-usaha pada mempelbagaikan ekonomi itu akan lebih mendatangkan kejayaan yang dihasratkan.

Dalam hal ini, pihak swasta selaku agen pembangunan ekonomi negara sudah sewajarnyalah memainkan peranan yang lebih penting serta meningkatkan lagi daya usaha mereka.

Di samping itu, untuk melengkapi strategi perindustrian, maka aspek-aspek yang lain seperti kemajuan sumber tenaga manusia, perlulah pula diberi perhatian yang berterusan khususnya di bidang kemahiran dan latihan dengan tujuan untuk melahirkan tenaga manusia-manusia yang berkemahiran, cekap dan berdedikasi.

Selain daripada menitikberatkan usaha mempelbagaikan ekonomi, Rancangan Kemajuan Negara ini juga meneruskan projek-projek bagi kepentingan sosial dan masyarakat termasuk infrastruktur asas, pembinaan perumahan, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan serta tidak kurang juga dari segi pengangkutan dan perhubungan.

Dalam melaksanakan segala rancangan tersebut, kerjasama yang erat di antara pihak kerajaan dan swasta adalah mustahak untuk dikukuhkan.

Perkara ini amat mustahak untuk diberikan perhatian demi bagi mencapai matlamat pembangunan negara jangka panjang, lebih-lebih lagi dengan menjelangnya tahun 2000.

Usaha-usaha merancang dan membangun negara itu, adalah turut merangkum serta meliputi pengukuhan sistem berkerajaan yang sempurna lagi berwibawa ­untuk sepanjang masa.

Dalam pada itu, adalah juga sangat mustahak untuk diingat bahawa apa jua jenis pembangunan itu hanya akan dapat berlangsung dengan baik dan berterusan selama mana negara berada dalam keadaan aman dan selamat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk tidak sekali-kali membiarkan keamanan dan keselamatan negara dirosakkan oleh sebarang anasir, sama ada anasir daripada dalam apatah lagi dari luar.

Bumi Brunei Darussalam bukanlah tempat semaian bagi sebarang jenayah atau lain-lain kejahatan. Ia adalah amanah Allah untuk rakyat dan penduduk dapat berteduh di dalamnya sambil menikmati keamanan dan kesejahteraan.

Oleh itu Beta sangatlah berharap supaya semua pihak yang berkenaan khasnya, dan seluruh rakyat amnya akan sentiasa mengambil berat soal-soal yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan itu sehinggalah ia benar-benar wujud dan tercipta dengan kukuhnya.

Dalam pada itu, di samping kita meningkatkan usaha pada perkara-perkara pembangunan negara dari segi fizikal, kita juga jangan lupa terhadap pembangunan yang tidak kurang juga pentingnya iaitu pembangunan rohani dan nilai-nilai murni yang sedia kita amalkan sejak turun-temurun lagi.

Insya-Allah berkat perpaduan yang kukuh dan erat di antara kerajaan dan rakyat, kita pasti akan dapat mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara kita selama ini dengan suatu gambaran masa depan yang lebih cemerlang lagi terjamin dengan izin Allah.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-­ahli jawatankuasa tertinggi serta sekalian peserta dalam semua acara yang dikendalikan. Semoga Allah memberkati sumbangan yang ikhlas semua pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam, kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta mengucapkan Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Kebangsaan.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.