Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1995
Sempena Ulangtahun Ke-11 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Was-Salatu was-Salamu ‘Ala Asyrafil Mursalin Saayyidina Muhammadin wa ‘Ala Aalihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.

Adalah menjadi kewajiban kita untuk bersyukur hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sekali lagi dapat menyambut dan merayakan Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita.

Kesyukuran itu seharusnya lebih mendalam lagi kerana kita dapat merayakannya dalam suasana yang aman dan tenteram.

Keamanan dan ketenteraman adalah cukup mahal bagi sesiapa sahaja. Tetapi bagi setengah orang atau negara, ianya kadang-kadang tidak lebih dari sebuah impian atau angan-angan belaka.

Salah satu sumbangan terbesar keamanan dan ketenteraman itu, ialah menjanjikan setiap pembangunan akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.

Ada teori mengatakan, bahawa keamanan itu hanya boleh wujud dengan adanya kemerdekaan. Tetapi teori itni telah dilemahkan oleh banyak peristiwa yang berlaku di merata dunia, peristiwa mana berupa huru-hara dan persengketaan, padahal tempat berlakunya kejadian-kejadian itu ialah dalam negara-negara yang merdeka.

Jadi merujuk kepada hakikat ini, ternyata kemerdekaan itu juga kadang-kadang gagal dalam menjanjikan keamanan dan ketenteraman.

Sungguhpun begitu, hal ini tidaklah pula akan menjatuhkan harga kemerdekaan itu. Kemerdekaan tetap agung dan luhur. Jalan untuk mencapainya adalah amat sukar. Kerana itulah kadang-kadang, terdapat negara-negara atau bangsa-bangsa yang terpaksa menebusnya dengan darah dan nyawa mereka.

Adapun kita alhamdulillah, kemerdekaan sudah pun ada di tangan. Dan sambil kita menghirup udara merdeka, kita juga sedang menikmati keamanan yang menambahkan lagi lazatnya isi atau buah kemerdekaan itu.

Kedua-duanya, yakni kemerdekaan dan keamanan, janganlah ia dipisahkan. Jangan ada salah satu yang hilang. Jika hilang salah satu daripadanya, maka yang satu lagi itu akan kurang bermakna.

Kerana itu adalah manjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara seterusnya kemerdekaan dan keamanan itu dari sebarang bentuk atau corak gangguan oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Kita akan mempertahankan keamanan sambil juga mengisi kemerdekaan dengan berbagai rupa pembangunan.

Pembangunan yang terafdal dan terutama, ialah pembangunan jiwa dan mental bangsa. Pembangunan jenis ini akan melahirkan manusia-manusia yang berkualiti.

Kita tidaklah mahu semata-mata mewah subur tubuh badan sahaja. Adapun kemewahan itu hanyalah hiasan luar sahaja, sementara ‘kualiti dalaman’, itulah sebenar-benarnya yang akan menentukan daya tahan bangsa menghadapi aneka cabaran dan pancaroba.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam di bidang ekonomi, beta percaya, ianya mempunyai peluang-peluang untuk berkembang. lni adalah didasarkan kepada suasananya yang cukup mengizinkan, yang bebas dari sebarang gangguan dan ketakutan.

Para pelabur asing umpamanya, tentulah tidak akan teragak-agak untuk membuat pelaburan mereka, kerana tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan di sini.

Demikian juga para usahawan, akan lebih berpeluang untuk mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi mereka, termasuk juga meneroka bidang-bidang yang baru dalam perusahaan itu.

Semua ini, tidak sahaja akan mendatangkan keuntungan kepada pengusaha-­pengusaha itu sendiri, malahan juga kepada negara dan orang ramai.

Keadaan inflasi juga akan turut terkawal dengan berkurangnya pengaruh barang-­barang import daripada luar negeri.

Apa yang patut menjadi pegangan kita ialah meletakkan kepentingan kebangsaan atau national interest itu di atas sekali. Kita hendaklah menyingkirkan tabiat suka mementingkan diri sendiri, kerana tabiat ini boleh menggagalkan usaha-usaha pembangunan. Kita tidaklah mahu undur ke belakang hanya disebabkan kesilapan seperti ini.

Marilah kita membina diri serta membebaskannya dari segala macam belenggu pemikiran lama yang tidak berfaedah. Janganlah kita bawa warisan penjajah ke dalam alam merdeka. Di antara warisan yang jelek itu ialah perasaan rendah diri atau inferiority complex.

Sifat ini boleh membawa lemah dan mundur. Kita perlu ingat, bahawa bangsa yang lemah sama sekali tidak akan mampu untuk barsaing, walau dengan siapa pun.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, di mana persaingan itu terlampau sengit, baik dalam apa jua bidang dan lapangan sekalipun.

Salah satu usaha kerajaan beta untuk membina insan, agar ianya memiliki sifat-sifat patriotik, ialah dengan melalui pendidikan kebangsaan. Sekarang, kampus baru Universiti Brunei Darussalam sudah pun mula digunakan. Ia menelan belanja berjuta-juta ringgit.

Usaha ini adalah untuk melahirkan masyarakat Brunei yang berilmu lagi terpelajar. Mereka inilah kelak yang akan tampil ke hadapan dengan gaya maju, dengan semangat maju dan pemikiran maju, tetapi masih tetap selaku purih Brunei, orang Brunei, jiwa raga Brunei, yang tidak pernah ingkar dan lari dari janji mereka untuk terus mendukung konsep M.I.B (Melayu Islam Beraja) sebagai falsafah negara.

Beta berdoa, semoga niat dan cita-cita kita yang baik tidak akan dihampakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Akhirnya, beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kesebelas Hari Kebangsaan.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi termasuk juga semua peringkat pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta mengucapkan Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Kebangsaan.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.