Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1994
Sempena Ulangtahun Ke-10 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
AlhamdulillahI Rabbil ‘Alamin Was-Salatu was-Salamu ‘Ala Asyrafil Mursalin Saayyidina Muhammadin wa ‘Ala Alihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas limpah rahmat-Nya kepada kita sehingga dengan ini dapatlah kita menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana yang aman dan bahagia.
Dengan sambutan pada kali ini, genaplah usia kemerdekaan kita sepuluh tahun. Di dalam masa tersebut, kita telah berjaya melalui liku-liku kehidupan dengan cara yang kita pilih sendiri tanpa dipengaruhi ataupun dikongkong oleh citrasa orang lain.
Rakyat serta penduduk bolehlah berbangga, kerana telah dapat membuktikan kebolehan mentadbir dan menguruskan diri sendiri yang menjadi punca kita mencapai perkembangan dan keamanan.
Sesunggunya matlamat utama bagi bangsa-bangsa di dunia ialah mencari keamanan dan keselamatan. Kerananyalah mereka menganut atau mencipta berbagai-bagai dasar dan ideologi, namun hasilnya masih juga seperti impian belaka.
Ini, dapat kita saksikan dari media-media massa yang saban hari menyogokkan berita-berita tentang pergolakan, konflik dan tragedi-tragedi yang diakibatkan oleh berbagai malapetaka, yang semua itu mendatangkan penderitaan pahit kepada rakyat dan penduduk di negara-negara berkenaan, hatta tidak terkecuali juga negara-negara maju.
Adapun kita alhamdulillah, telah menikmati keamanan dan keselamatan itu lebih daripada orang lain, iaitu suatu kurnia Allah terhadap kita.
Beta percaya, ini semua merupakan kebajikan dan keberkatan darl kemerdekaan ltu, kerana darl awal-awal lagi kita telah menyambut dan menanainya dengan takbir membesarkan Allah, iaitu suatu hal yang belum pernah terjadi di mana-mana. Dan apabila menyebut ini, kita pun teringat betapa ia pernah bergema dikepalai oleh Paduka Ayahanda beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Beta rasa, inilah sebahagian dari syiar dan identiti kita yang sangat unik dan berharga.
Di antara tanda-tanda keberkatan itu iatah kekalnya ikatan yang kukuh di antara kerajaan beta dengan rakyat serta penduduk, yang merupakan asas yang menjadikan kemerdekaan itu bertambah-tambah teguh dan bermakna.
Dalam masa kita menikmati hasil kemerdekaan, kita juga terus berusaha memajukan diri sambil berpegang kuat kepada keperibadian Brunei tulen. Kita akan kekal di sini, di samping jika mustahak, akan menerima apa jua perubahan yang baik dalam bidang pentadbiran dan politik.
Suka beta nyatakan bahawa semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, langkah telah dibuat untuk meneliti Perlembagaan Negara Tahun 1959. Ianya akan selesai insya-Allah sedikit masa lagi. Beta percaya rakyat akan menyambut baik sebarang langkah yang akan beta ambil kemudian dalam perkembangan perlembagaan negara itu. lanya dihasratkan semata-mata untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat jua.
Dalam mengusahakan kesejahteraan rakyat ini, sudah barang tentu memerlukan banyak perancangan dan pembangunan di samping kewangan.
Dan selain itu, faktor asas yang turut menentukan kejayaan setiap perancangan itu, iatah keupayaan dari segi tenaga manusia. Maka kerana itu, bagi faedah tersebut, beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa yang diberi nama ‘Jawatankuasa Kebangsaan Sumber Tenaga Manusia’.
Jawatankuasa ini bertujuan, selain dari untuk menyusun tenaga manusia supaya lebih teratur dan tidak akan berlaku pembaziran, juga yang utama ialah untuk mengimbangi pergantungan kita kepada tenaga-tenaga yang didatangkan daripada luar. Pada masa ini, negara kita masih lagi banyak bergantung kepada tenaga-tenaga luar itu dalam berbagai peringkat, termasuklah peringkat profesional dan teknikal.
Di samping menghargai sumbangan mereka, kita juga wajar berusaha khasnya di bidang pendidikan, supaya di dalam jangka waktu yang munasabah, tenaga-tenaga yang cukup terlatih serta berkemahiran akan mengambil alih tugas-tugas penting di bidang-bidang yang berkenaan.
Sebagai tanda penghargaan serta perhatian kerajaan terhadap sektor swasta maka jawatankuasa ini juga akan melibatkan perwakilan sektor swasta bagi sama-sama menangani masalah yang dihadapi.
Di bidang perdagangan antarbangsa, kerajaan beta bukan hanya setakat berusaha untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, malahan juga ingin melihat pengusaha-pengusaha anak-anak tempatan sendiri.
Kita sedia menyedari, bahawa pembangunan ekonomi negara itu, adalah memerlukan individu-individu yang berjiwa besar dan berpandangan jauh.
Sungguhnya mereka yang dimaksudkan itu sudah ada di kalangan kita namun bilangan mereka masih kecil. Kita masih perlu menambah mereka, supaya lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan. Apa yang kita mahu ialah, menambahkan pulangan ataupun keuntungan-keuntungan negara, di samping mampu menyediakan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat.
Kita tidak boleh kekal di tahap yang lama, dengan terus mengalami perbelanjaan yang berlebihan tanpa pulangan yang seimbang. Di mana apabila keadaan begini berlanjutan, ia boleh mendatangkan akibat terburuk kepada negara.
Oleh itu sampailah masanya kita berhati-hati dalam menjalani keadaan hari ini, sambil menyedari hakikat masa depan yang lebih panjang.
Akhirnya beta mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kesepuluh Hari Kebangsaan kita.
Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta mengucapkan selamat menyambut dan merayakan Hari Kebangsaan.
Sekian, wa Billahit Taufiq wa-Hidayah, was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.