Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1993
Sempena Ulangtahun Ke-9 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua kita dapat menyambut Ulang Tahun Ke-9 Hari Kebangsaan iaitu hari kesyukuran dan kebanggaan bagi seluruh Negara Brunei Darussalam dan segala isi di dalamnya.
Dengan petunjuk dan inayah Allah Subhanahu Wataala jua kita telah dapat menjaga dan memelihara kemerdekaan itu.
Dengan kemerdekaan, kita telah dapat menguatkan azam bagi sama-sama melaksanakan tanggungjawab membangun dan memajukan negara yang kita cintai ini.
Sesungguhnya kita bertuah, kerana dalam masa menerima kemerdekaan itu kita sudah mempunyai corak pemerintahan yang tulen. Corak tersebut telah berupaya melindungi kepentingan-kepentingan kita dalam semua aspek perkembangan dan keperluan yang kita kehendaki.
Menerusinya negara dan rakyat telah dapat menikmati keamanan yang membolehkan kita hidup selesa dan harmoni.
Bagaimanapun kita juga turut menyedari akan cabaran-cabaran bernegara dan berpemerintahan, khasnya dalam keadaan negara-negara dan bangsa-bangsa seluruh dunia saling bergantung di antara satu sama lain yang memungkinkan interaksi budaya, termasuklah budaya yang bersifat politik.
Maka itulah kita perlu berwaspada menentukan arah dan landasan budaya politik kita sebagai bangsa yang berwibawa dan mempunyai identiti, di samping tidak mengabaikan budaya takwa sebagai penentu kepada dasar-dasar kita.
Ini akan menguatkan lagi keunggulan kita sebagai satu bangsa di tengah-tengah sekian banyak bangsa-bangsa lain yang wujud di merata bumi Allah ini.
Dalam pada itu, kejadian-kejadian mutakhir yang berlaku di dunia antarabangsa pula masih menunjukkan unsur-unsur persengketaan yang menuju kehancuran.
Berakhirnya perang dingin nampaknya belumlah mendatangkan kemanfaatan kepada keamanan dunia pada keseluruhannya. Ini ternyata bilamana berbagai konflik, serta persengketaan yang tidak mengenal erti kemanusiaan masih berleluasa di beberapa tempat di dunia ini.
Selaku bangsa yang mempunyai prinsip cintakan perdamaian dan menghormati hak-hak asasi manusia, kita adalah turut mengutuk sebarang bentuk kekejaman dan penindasan yang dilakukan terhadap sesama insan.
Bagi kita apa pun juga istilah yang digunakan tidaklah boleh menghalalkan tindakan-tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan sepertimana yang masih berleluasa di Bosnia-Hezegovina.
Begitu juga kita turut mengutuk tindakan rejim Yahudi mengusir orang-orang Palestin dari negara tumpah darah mereka dengan mengenepikan resolusi-resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang lumrah dilakukannya selama ini.
Kita berpendapat kekejaman-kekejaman ini sudah lama berlarutan dan telah banyak mendatangkan korban dan kesengsaraan kepada orang-orang yang berkenaan. Dari itu, kita tidak henti-hentinya mengharapkan agar Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan kewibawaan ataupun kredibilitinya selaku badan dunia yang terunggul.
Dalam masa yang sama, selaku sebuah negara Islam kita juga melahirkan rasa kekesalan kita terhadap terjadinya beberapa perbalahan dan persengketaan sesama Islam. Kita berdoa semoga mereka yang berkenaan akan diberikan kesedaran oleh Allah Subhanahu Wataala dan akan segera kembali ke jalan persaudaraan yang sejati.
Kita juga turut merasa khuatir dengan perkembangan yang belum mantap di Cambodia kerana kita sedar bahawa keamanan di Indochina juga penting bagi kemantapan rantau ini pada keseluruhannya
Dalam suasana pembangunan ekonomi yang pesat di Rantau Asia dan Pasifik, keadaan aman dan tenteram itu adalah penting.
Kemudian berbalik lagi kepada masalah dalaman kita. Pada sejauh ini alhamdulillah, kita telah dapat meneruskan usaha-usaha yang telah kita jalankan selama ini. Usaha-usaha tersebut meliputi pembangunan fizikal di berbagai bidang dan juga pembangunan dari segi intelek dan kerohanian.
Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala agar usaha-usaha yang kita jalankan itu akan sentiasa diberkati-Nya dan rakyat serta penduduk pula benar-benar dapat merasakan nikmat kemerdekaan itu.
Dalam zaman yang penuh mencabar dan persaingan ini sangatlah perlu bagi setiap usaha yang kita jalankan itu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sepenuh hati.
Hal ini penting untuk membolehkan kita bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini yang setengahnya itu lebih jauh ke hadapan meninggalkan kita di segi pengetahuan serta penguasaan sains dan teknologi.
Kita juga perlu menumpukan perhatian terhadap langkah-langkah mempelbagaikan ekonomi, khususnya melalui pengembangan bidang perindustrian yang kita laksanakan selama ini, termasuklah penglibatan aktif sektor swasta.
Penglibatan anak-anak tempatan dalam sektor swasta ini perlu, kerana tidak wajar bagi kita secara berterusan bergantung kepada tenaga-tenaga yang didatangkan daripada luar.
Tenaga-tenaga yang didatangkan dari luar negeri akan membawa balik kemahiran dalam pekerjaan yang mereka dapati di negara ini setelah tempoh perkhidmatan mereka tamat. Yang demikian, negara ini tetap sahaja akan berterusan kekurangan tenaga mahir itu.
Dengan tertubuhnya Tabung Amanah Pekerja baru-baru ini, yang tidak berapa lama lagi juga dilaratkan kepada sektor swasta, maka beta berharap anak-anak tempatan kita tidak akan teragak-agak lagi untuk mencaburi sektor tersebut kerana ianya juga sama-sama menjanjikan masa depan yang terjamin bagi setiap pekerja.
Kita juga tidak mahu belakunya pengangguran di negara ini, kerana sumbangan tenaga dan pemikiran setiap rakyat dan penduduk itu adalah penting bagi mengekalkan pembangunan dan kemakmuran serta juga kesejahteraan tanahair.
Akhirnya, bertepatan dengan tarikh sambutan hari kebangsaan tahun ini jatuh pada awal bulan Ramadan, maka beta berharap hanya acara-acara sambutan yang sesuai dengan suasana bulan ini sahaja yang akan diadakan.
Beta adalah tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-9 Hari Kebangsaan kita.
Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.