Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1992
Sempena Ulangtahun Ke-8 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Was-Salatu was-Salamu ‘Ala Asyrafil Mursalin Syidina Muhammadin wa ‘Ala Alihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita menyambut dan merayakan Ulang Tahun Kelapan Hari Kebangsaan, iaitu sebagai tanda kita bersyukur dan redha di atas nikmat kemerdekaan yang telah dikurniakan oleh Allah itu.
Selama lapan tahun kita menghirup udara merdeka, maka selama itu pula kita telah dapat merasakan betapa beratnya tanggungjawab menanai dan mengisi kemerdekaan itu. Tetapi alhamdulillah, dengan berkat usaha dan keyakinan kita, maka semua tanggungjawab tersebut telah dapat ditunaikan dengan baik dan berkesan.
Kita juga telah berjaya menjalani liku-liku masa yang penuh dengan berbagai duri dan cabaran, yang menandakan satu lagi kemampuan kita pada mengendalikan bahtera kemerdekan itu dengan sebaik-baiknya.
Kita, bukan sahaja setakat bermegah menjadi bangsa yang merdeka, tetapi juga memahami bahawa tujuan kemerdekaan itu ialah sebagai pendorong ke arah kehidupan yang lebih maju, bebas dan bermaruah.
Maka atas tujuan dan matlamat inilah, kita dengan tidak putus-putusnya telah dan sedang berusaha menjayakan beberapa banyak rancangan yang difikirkan boleh menghasilkan kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat dan penduduk. Kita sesungguhnya tidaklah akan berhenti dari meneruskan usaha-usaha tersebut sambil selebihnya itu, kita serahkan kepada Allah Subhanau wa Ta’ala untuk menentukan segala-galanya.
Sebelum merdeka, kita juga telah memulakan usaha membangun negara. Tetapi selepas merdeka, kita melanjutkannya dengan lebih gigih lagi dan lebih memerlukan commitment yang padu daripada semua pihak, dalam makna tidak siapa pun yang boleh lalai atau leka dari turut mengisi kemerdekaan itu dengan sumbangan-sumbangan yang berpatutan menurut bidang masing-masing.
Menyebut tentang pembangunan ini, kita adalah sama-sama menitikberatkan pembangunan rohani dan kebendaan. Dari dua sudut pembangunan inilah, kita akan muncul sebagai bangsa yang dihormati lagi digalati.
Demikian pendirian kita yang menjadi landasan berterusan ke arah menghadapi abad ke-XXI iaitu suatu abad yang telah diramalkan penuh dengan berbagai-bagai pancaroba dan cabaran, termasuklah cabaran yang berupa persaingan-persaingan sengit dalam bidang-bidang politik dan ekonomi.
Sekarang pun sudah berlaku, di beberapa penjuru dunia terdapat negara-negara yang sedang ghairah membentuk blok-blok kerjasama bagi melindungi kepentingan masing-masing, dalam bidang-bidang politik, ekonomi dan keselamatan.
Memanglah tidak ada salahnya menjalin kerjasama yang seumpama itu, berlandaskan semangat berbaik-baik di antara negara-negara berkenaan, khasnya bagi negara-negara yang berjiran, iaitu sebagai langkah mengekalkan kewujudan bersama secara aman.
Demikianlah dalam hubungan ini, langkah yang serupa adalah lebih mustahak lagi bagi negara-negara kecil seperti kita ini, untuk memantapkan hubungan kerjasama yang sihat berdasarkan faktor-faktor kehidupan termasuk juga faktor sejarah. Dan menyedari inilah, makanya kita sentiasa menitikberatkan peranan yang layak kita mainkan di rantau ini, khasnya melalui keanggotaan kita dalam ASEAN.
Kita turut percaya, dengan adanya ASEAN sebagai badan kerjasama serantau yang kuat dan aktif, maka akan dapatlah ia sama-sama menentukan corak politik antarabangsa, dari segi mengawal dan menjaga kepentingan semua pihak, sama ada yang kecil mahupun yang besar.
Atas asas ini, kita juga tidak terkecuali dari sama-sama merumuskan haluan kerjasama dalam ASEAN, seperti baru-baru ini melalui Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara ASEAN di Singapura, yang antara lain menyentuh tentang peningkatan kerjasama ekonomi di antara negara-negara ASEAN, termasuklah keputusan untuk menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area). Kita berkeyakinan, bahawa keputusan ini adalah satu peluang keemasan yang membolehkan hasil barangan kita beredar di pasaran yang lebih besar, serta dalam masa yang sama juga akan menjadi pendorong ke arah mempercepatkan lagi usaha-usaha kita mempelbagaikan ekonomi negara.
Kita perlu menyedari, bahawa nasib dan keadaan kita di masa-masa akan datang adalah tergambar daripada usaha-usaha yang sedang kita lakukan itu baik dan bermanfaat, maka insya-Allah, kesudahannya juga adalah baik dan bermanfaat. Begitulah pula sebaliknya.
Tegasnya, tidak ada siapa yang akan menderma untuk memikirkan untung nasib kita, melainkan kita sendiri sahaja.
Oleh kerana itulah, bersempena dengan menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini, Beta dengan amat sukacita mengharapkan supaya setiap individu dari kalangan rakyat dan penduduk, akan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing, walau seberat mana pun, bagi kesejahteraan, kemakmuran dan ketahanan negara.
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih Beta kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kelapan Hari Kebangsaan, juga kepada segenap peserta dan petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberkati segala sumbangan ikhlas mereka, sambil membalasnya dengan ganjaran-ganjaran yang besar, di dunia mahupun di akhirat.
Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam Kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, serta juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari kebangsaan,
Sekian, wa Billahit Taufiq wal-Hidayah, was-Salamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.