Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1991
Sempena Ulangtahun Ke-7 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Salawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat sahabat­-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi taat, jujur serta amanah hingga ke akhir zaman.

Beta amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ ala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-nya jua dapatlah kita bagi kali ke- 7 menyambut ulang tahun hari kebangsaan sebagai hari yang sangat-sangat diagungkan di dalam sejarah kita.

Kita berbangga kerana dengan ini menandakan bahawa kita adalah suatu bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Kebanggan kita itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar mengandungi motif yang luhur bagi rakyat dan penduduk negara ini, supaya akan dapat sentiasa bersyukur dan mengingati limpah kurnia Allah yang telah mentakdirkan kita ini mempunyai negara yang merdeka lagi penuh berdaulat.

Sesungguhnya, kemerdekaan bukanlah murah untuk dibeli, dan memangnya ianya tidak boleh dibeli. Kerana itulah kadang-kadang orang terpaksa menebusnya dengan harga yang paling mahal sekali iaitu dengan darah dan nyawa.

Maka berasaskan inilah, sepatutnya kita mesti mengasuh rasa cinta dan cemburu yang mendalam terhadap kelangsungannya serta sambil itu memberikannya baja yang sesuai supaya ia dapat hidup dengan subur bagi menghasilkan buah-buah yang lazat.

Apakah buah kemerdekaan itu?

Ia bermula dari tanggungjawab yang lebih besar. Tanggungjawab inilah benihnya dan kemudian ia beransur menjadi pohon yang berupa rancangan-rancangan kerja dan akhir sekali barulah kita mendapat buahnya daripada hasil-hasil kerja tersebut tadi.

Buah-buah inilah yang mahu kita pastikan benar-benar biar luar dalamnya elok, boleh dinikmati sepenuhnya. Jangan ada yang kulitnya sahaja bagus tetapi isi di dalamnya busuk berulat seperti resam setengah buah mangga misalnya.

Maka demikian itulah, halnya dengan ‘buah kemerdekaan’. Bukan rancangan-­rancangan sahaja yang mesti banyak dan meningkat, tetapi hasil daripada rancangan-­rancangan tersebut mestilah pula dijamin tidak akan sia-sia atau tidak hanya indah di luar tetapi buruk di dalam.

Semenjak kita merdeka, bermacam-macam perubahan telah kita buat dan bermacam-­macam tema telah kita cipta untuk memberangsangkan rakyat dan kerajaan bagi mencapai matlamat yang lebih baik lagi. Hal ini amatlah baik untuk dijadikan tradisi. Tetapi dalam pada itu, tema-tema yang indah dan bernas sahaja belumlah memadai tanpa adanya follow-up ke arah mencapai tujuan dan maksud daripada tema-tema tersebut.

Bagaimanapun alhamdulillah, perubahan-perubahan yang kita capai selama ini telah memberikan kita keyakinan yang kukuh bahawa kita sebenarnya mampu untuk melakukan dan mengadakan sesuatu yang lebih baik bagi negara dan rakyat.

Di dalam bidang pembangunan sahaja umpamanya, kita telah banyak melakukan apa-­apa yang perlu untuk kesejahteraan rakyat. Dari pembangunan fizikal sampailah kepada pembangunan mental menerusi pendidikan dan pelajaran telah dapat diungkayahkan oleh kerajaan dengan jayanya.

Demikian juga bidang-bidang yang lain, Beta adalah optimis akan dapat melihat peningkatannya yang pesat dari masa ke semasa.

Beta percaya semua ini akan lebih mudah lagi dicapai apabila kita benar-benar patuh dan kuat berpegangan kepada disiplin kerja serta penduduk pula akan sentiasa komited dengan tanggungjawab yang besar ini.

Dalam pada itu kita semua mustahak juga memahami bahawa masa depan kita yang lebih gemilang tidaklah semata-mata bergantung kepada pencapaian tahap kemakmuran yang tinggi, tetapi mesti turut dipupuk dan disuburkan ialah kesedaran bernegara, sopan santun dan persefahaman yang lebih bermakna.

Kita sudah banyak belajar dari keadaan dan persekitaran kita, bahawa terdapat banyak negara yang giat membangun yang setengahnya itu memang berhasil mencapai tujuan mereka. Tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak putus-putus bersungut dengan kerenah dan telatah rakyat mereka sendiri yang tidak menyenangkan. Jika hal yang seumpama ini masih berlaku menunjukkan sebuah negara itu belum lagi stabil, walau macam mana banyaknya sekalipun statement yang mengatakannya demikian

Mengapa kerenah-kerenah dan telatah-telatah sumbang boleh berlaku?

Pada hemat beta, di antaranya ialah kerana kurang disiplin, lemahnya kesedaran nasional dan kesedaran bernegara, tidak jujur serta hilang kesopanan di kalangan sesama sendiri. Maka oleh itu satu tanggungjawab kita yang besar dan mencabar ialah mewujudkan perpaduan dan kesedaran yang seragam di kalangan rakyat dan penduduk dalam hal-hal yang disebutkan di atas. Kita tidaklah boleh cuai dan mengabaikan semua ini demi untuk menjamin stabiliti dan keutuhan negara.

Bersabit dengan perkembangan dunia dan politik antarabangsa pula, beberapa insiden telah turut mengusik perasaan dan pemikiran kita. Antaranya dengan redanya perang dingin di antara dua kuasa besar telah banyak membawa harapan di kalangan negara-­negara kecil, bahawa perkembangan tersebut akan mempertingkatkan lagi keberkesanan badan pengaman dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berfungsi dengan lebih berkesan pada menjamin dan memelihara keselamatan antarabangsa.

Tetapi serentak dengan ini satu insiden baru yang tiba-tiba berlaku di luar dugaan telah memusnahkan harapan tersebut iaitu dengan meletusnya Krisis Teluk sekarang. Badan dunia yang diharap-harapkan itu nampak-nampaknya tidak dapat bebuat apa-­apa selain daripada seolah-olah menjadi podium untuk mengisytiharkan hujah-hujah yang bercanggah semata-mata.

Kita turut bimbang sekiranya moral badan dunia ini sangat banyak terjejas, maka ini memungkinkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadapnya juga turut terjejas.

Khusus mengenai Krisis Teluk - pendirian negara kita adalah tidak berubah iaitu menghendaki supaya negara-negara yang merdeka yang tidak mahu negara masing-­masing diganggu-gugat dan apatah lagi dicerobohi oleh orang lain.

Tetapi sehubungan ini pula, kita juga turut menyesali corak dan bentuk peperangan di Teluk pada hari ini. Kita khuatir apa yang berlaku sehingga hari ini telah melimpasi batasan mandat ketetapan 678 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mandat ini tidak ada kaitannya langsung dengan pemusnahan bandar-bandar raya, pusat-pusat sejarah, rumah-rumah ibadat dan tempat-tempat suci, hospital-hospital dan pasar-pasar dan lebih-Iebih lagi tidak mengizinkan kematian di kalangan kanak-­kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua yang tidak berdosa.

Daripada dalil-dalil yang sedang ditonton oleh dunia hingga ke hari ini menunjukkan bahawa satu tamadun mulai runtuh akibat peperangan. Dan malahan dunia juga tabu bahawa konflik Teluk apabila berterusan akan membawa bencana sangat besar bukan sahaja kepada pihak-pihak yang berperang, malahan juga kepada alam sejagat. Kesannya adalah tidak mudah untuk digambarkan dengan segera, tetapi yang sudah pasti tidak boleh tidak ianya akan menyebabkan kerugian hartabenda dan wang yang banyak, kerugian mana dimaksudkan untuk kemusnahan, bukan untuk menegakkan kemanusiaan atau membela orang-orang miskin dan melarat di serata dunia ini.

Cubalah gambarkan, satu contoh sahaja dari kesan peperangan ini iaitu pencemaran laut disebabkan tumpahan minyak di Teluk. Menurut ulasan-ulasan pakar ianya bukanlah perkara mudah untuk diatasi, tetapi mungkin mengambil masa lebih daripada seratus tahun bagi pemulihannya semula.

Tidakkah ini suatu petaka yang amat dahsyat, bukan sahaja ke atas manusia malahan juga kepada lain-lain makhluk Allah di permukaan bumi ini.

Berasaskan inilah kita juga turut menyokong kuat setiap usaha damai yang diusahakan oleh mana-mana pihak dari manapun juga datangnya di samping mengharapkan supaya sekalian aktivis keamanan di seluruh dunia akan dapat menyuarakan sokongan­-sokongan dan usaha mereka yang berterusan ke arah mewujudkan perdamaian yang berkekalan.

Adapun hasrat ini kita suarakan dengan niat yang baik lagi suci sebagai sifat kita menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Tidak ada maknanya kita sendiri sahaja yang sedap dan senang sedang warga dunia yang lain menderita di dalam kancah peperangan.

Demikianlah harapan beta dan juga harapan seluruh rakyat serta penduduk di negara ini ingin melihat wajah dunia ini sentiasa manis dan berseri-seri, tidak ada yang menangis kerana tertindas atau dizalimi. Inilah juga pendirian negara kita.

Hal ini selaras dengan hasrat beta ingin melihat rakyat beta sendiri berada di dalam keadaan aman damai, riang gembira lagi sejahtera. Dan makanya kerana itu pula tugas serta tanggungjawab kerajaan yang paling besar ialah menjadi pelindung kepada kebajikan rakyat. Sementara rakyat pula hanyalah dituntut supaya mempunyai kesedaran bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kerajaan yang menyediakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan tetapi juga untuk memimpin.

Beta berharap, dengan mengambil sukut baik di hari yang mulia ini kita sama-sama akan dapat merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ ala semoga negara kita sentiasa berada di dalam aman, damai, selamat lagi sejahtera dan makmur. Rakyat serta penduduk sekalian dikurniakan taufik dan hidayah supaya dengan itu dapatlah mereka menjalankan liku-liku hidup ini dengan tidak terpesong daripada landasan hak dan kebenaran.

Untuk akhirnya beta sukacita dengan ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan lain-lain jawatankuasa sambutan perayaan ulang tahun ketujuh Hari Kebangsaan kita dan juga kepada segenap peserta serta petugas yang turut menjayakan acara-acara di dalamnya. Mudah-mudahan Allah memberkati segala sumbangan ikhlas kita itu dengan ganjaran rahmat dan pahala daripada-Nya.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk tidak terkecuali semua peringkat di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan.

Sekian sahaja, wa Billahi Taufiq wal Hidayah, was-Salamu’ alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.