Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1990
Sempena Ulangtahun Ke-6 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam


Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, Seru Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ke atas keluarga, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat­-Nya jua kita sekalian dapat menyambut Ulang Tahun Keenam Hari Kebangsaan dalam keadaan negara semakin kukuh dan rakyat serta penduduk terus menikmati hidup yang aman sejahtera. Kesemuanya itu adalah berkat usaha kita yang ikhlas dalam memaju dan memelihara kepentingan negara, iaitu dengan mempergunakan nikmat kemerdekaan menurut yang diredai Allah, secara yang sebaik-baiknya dan bertanggungjawab.

Kemerdekaan kita telahpun jelas di mata dunia. Kita diiktiraf oleh semua negara. Kita mampu menunaikan tanggungjawab antarabangsa. Dan lebih penting lagi ialah kita mempunyai kerajaan yang berkesan dalam ertikata mampu mengendalikan negara, melindungi dan memimpin rakyat serta penduduk ke arah kesejahteraan yang dihasratkan sebagai bangsa yang merdeka.

Berdasarkan keupayaan yang sedemikian itu, insya-Allah dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya; kita akan dapat pula mengembangkan aspek-aspek kenegaraan dari semasa ke semasa. Dalam mengembangkannya itu, kita akan sentiasa mengenalpasti kepentingan-kepentingan kita yang sebenar dalam jangka panjang. Bukan sekadar kehendak atau keinginan dalam jangka pendek.

Dalam hubungan ini, beta sangat menghargai sokongan yang sentiasa diberikan oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk kepada kerajaan. Sokongan yang dilahirkan menurut cara dan dalam bentuknya yang unik telah mendatangkan faedah kepada negara.

Sebenarnya, cara sokongan yang diterima oleh kerajaan dan bentuk kerjasama di antara rakyat dengan kerajaan seperti yang dapat dilihat dan dirasakan faedahnya itu adalah merupakan budaya bangsa kita turun-temurun. Tradisi berpemerintahan yang berakar umbi dalam sejarah negara ini telah dipertahankan kesempurnaannya semasa bangsa kita mengalami pengaruh kuasa asing. Maka dizaman merdeka di mana bangsa kita kembali berdaulat sepenuhnya tentulah lebih wajar dipertahankan bukan semata-mata sebagai budaya yang dibanggakan, bahkan ianya sudah terbukti sebagai faktor bagi kemantapan serta kesejahteraan negara dan rakyat.

Beta maksudkan ialah tradisi berpemerintahan menurut budaya kita itu bukan semestinya beku dan kaku. Ia suatu yang dinamis. Perlembagaan negara yang mengaturkan susunan pemerintahan kita adalah memperlihatkan dynamisnya tradisi yang diwarisi itu, iaitu apabila pada masa-masa yang lain ia disesuaikan menurut keadaan dan keperluan. Demikian jua halnya di masa-masa hadapan.

Ulangtahun Keenam Hari Kebangsaan tahun ini, kita sambut tepat di awal dekat tahun sembilan-puluhan. Dekad tahun sembilan-puluhan, iaitu menjelang abad kedua-puluh­ satu adalah diramal akan merupakan dekad kemajuan dan peningkatan taraf hidup rakyat serta penduduk di kebanyakan negara-negara dunia.

Persaingan ideologi yang banyak mewarnakan hubungan antarabangsa dalam dekad­-dekad sebelumnya dijangka akan bertukar menjadi persaingan ekonomi. Di rantau sebelah sini pula, suasana keselamatan juga akan lebih mantap, dan memungkinkan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Kesemuanya itu memberikan harapan kepada rakyat dan penduduk di negara-negara rantau ini untuk menikmati peningkatan taraf kesejahteraan.

Bagi Negara Brunei Darussalam, kita turut sama mempunyai kepentingan terhadap keselamatan serantau. Kita sependapat dengan rakan-rakan dalam ASEAN bahawa keselamatan serantau adalah bermula dari kemantapan negara-negara di dalamnya. Maka pembangunan dan perkembangan kemajuan yang diusahakan bagi kepentingan kita dari dahulu lagi, adalah dengan hasrat mengekalkan kemantapan negara, Dengan demikian, kita membantu mewujudkan kemantapan dan keselamatan serantau.

Khusus mengenai negara kita, Beta nampak bahawa dekad tahun sembilan-puluan akan penuh dengan cabaran bagi memenuhi jangkaan-jangkaan rakyat dan penduduk kepada kehidupan yang lebih selesa. Keupayaan kerajaan untuk merancang dan melaksanaan projek-projek kemajuan yang baharu di samping mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang lazim di bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan, serta bidang-bidang sosial lainnya, adalah bergantung kepada kedudukan pentadbiran negara dan juga kepada kelicinan pentadbiran kerajaan dengan cara pengurusan yang penuh bertanggungjawab.

Kerana itulah, langkah-langkah yang difikirkan tepat dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan pada meningkatkan mutu pentadbiran, akan terus diambil. Beta ingin menegaskan bahawa perbelanjaan kerajaan yang dijimatkan tidaklah akan menjejaskan projek-projek yang mendatangkan faedah secara langsung kepada rakyat dan penduduk. Peruntukan kewangan untuk projek-projek sedemikian itu, insya-Allah akan terus diadakan.

Cabaran yang lain dalam dekad tahun sembilan-puluhan ini di mana kerajaan terus menghadapinya dengan lebih bersungguh-sungguh, ialah bagi melayani keperluan rakyat dan penduduk kepada rumah-rumah kediaman.

Ia merangkumi langkah-langkah bagi keselesaan alam sekitar. Dan serentak dengannya ialah tambahan kemudahan perhubungan dan riadah, bangunan-bangunan masjid dan sekolah, pusat-pusat perubatan dan kesihatan. Maka skim perumahan yang ada sekarang mungkin akan diluaskan dengan maksud mempercepatkan penyiapan rumah-­rumah yang sudah dirancangkan dan mengadakan rancangan-rancangan baharu yang dapat melayani keperluan kepada perumahan itu dalam tempoh yang munasabah.

Di bidang sosial yang melibatkan belia-belia, cabaran tahun sembilan-puluhan ialah bagi mempastikan supaya belia-belia kita mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara. Langkah-langkah yang sudah diambil dari aspek pendidikan formal patut diikuti dengan rancangan-rancangan lain secara berterusan. Kita nampak peranan yang dapat dimainkan oleh belia-belia negara ini di masa hadapan. Pada masa ini sebahagian mereka berkhidmat di sektor-sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian lagi masih meneruskan pelajaran-pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.

Sebagai golongan muda yang dinamis, mereka mempunyai jangkaan-jangkaan dan harapan-harapan tertentu mengenai masa hadapan negara. Maka adalah penting difikirkan langkah-langkah yang teratur menyelaraskan jangkaan dan harapan mereka itu bagi kepentingan negara keseluruhannya.

Dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya, memanglah rakyat dan penduduk, pada umumnya, akan menaruh jangkaan-jangkaan yang berupa harapan untuk menikmati taraf kesejahteraan yang meningkat dan masa depan yang lebih terjamin. Kerajaan pula akan sentiasa dan tidak kendur-kendur berusaha melaksanakan tanggungjawabnya memimpin dan mengendalikan negara dengan lebih berhati-hati.

Namun demikian, dalam apa keadaan pun, rakyat dan penduduk hendaknya menyedari akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan. Dengan ertikata yang lain masalah tersebut adalah sama-sama kita hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan sepenuhnya menurut yang dihasratkan. Apa yang penting ialah kita harus melihat masalah-masalah yang berbangkit dengan sikap yang insaf dan mencari huraiannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam hubungan ini, kita perlu mempunyai azam yang kuat, meningkatkan daya usaha serta mempertajamkan tumpuan dan perhatian ke arah menjayakan rancangan­-rancangan yang sudah diatur dan sedang diperingkat perlaksanaan, termasuk juga rancangan-rancangan kemajuan yang baharu. Dengan azam yang kuat disertai kesediaan memikul tanggungjawab-tanggungjawab yang lebih mencabar, insya-Allah, secara berperingkat-peringkat dan dalam jangka waktu yang munasabah, kita akan dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang merintangi pencapaian sebarang matlamat pembangunan.

Satu aspek yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan ialah perpaduan. Beta berpuas hati bahawa perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk selama ini telah membantu kerajaan, terutama sekali dalam usahanya mengekalkan keamanan. Kita semua mempunyai kepentingan yang sama untuk terus-menerus menikmati keamanan. Perpadu di semua peringkat, di dalam dan di luar kerajaan akan lebih kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan dan perkembangan aspek­-aspek kenegaraan di masa hadapan.

Kita memerlukan perpaduan yang lebih kukuh dan erat dari masa-masa yang lain. Dan untuk mengukuhkan serta mengeratkannya itu, kita hendaklah memberi perhatian kepada perhubungan secara berkesan. Yakni perhubungan yang di mungkinkan oleh kelancaran alat-alat perantaraan dan juga oleh cara pendekatan terhadap satu sama lain di kalangan kita semua.

Kerana itu, beta mengalu-alukan tema sambutan ulangtahun Hari Kebangsaan kali ini yang berbunyi 'Perhubungan Berkesan Mengeratkan Perpaduan'. Tema ini selayaknya menjadi semboyan yang sentiasa bergema dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

Sebenarnya, kelancaran alat-alat perantaraan dan cara pendekatan yang mengesankan perhubungan itu, adalah merupakan sebahagian keperluan yang utama dalam pembangunan dan perkembangan aspek-aspek kenegaraan, baik pada masa ini mahupun pada masa-masa yang akan datang. Ditambah lagi dengan perpaduan yang erat maka kesemuannya itu akan lebih meyakinkan kita untuk menempuh cabaran-­cabaran masa depan sebagai bangsa yang merdeka.

Beta menaruh kepercayaan bahawa seluruh rakyat dan penduduk dan segenap jentera kerajaan akan sentiasa berada dalam keadaan perpaduan yang erat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha ke arah masa depan yang lebih cemerlang serta terjamin. Serentak dengan itu tingkatkanlah kesedaran sebagai bangsa merdeka secara bertanggungjawab demi keselamatan negara kita yang tercinta, maju dengan sentiasa mendapat rahmat perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

Buat mengakhiri ucapan ini, beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan, serta segenap peserta-peserta dalam semua acara yang diadakan. Semoga Allah memberkati sumbangan yang ikhlas dari semua pihak bagi menjayakan sambutan Ulang Tahun Keenam Hari Kebangsaan ini.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, beta mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.

Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.