Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1988
Sempena Ulangtahun Ke-4 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabatsahabat dan para pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, maka rakyat dari penduduk Negara Brunei Darussalam telah dapat menikmati suasana aman, tenteram, kemakmuran dan juga kemajuan di pelbagai bidang sejak ianya menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Bersempena hari dan sukut yang baik lagi penuh bersejarah ini, beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan dan anggota-anggota pasukan keselamatan yang mana dalam melalui tahun-tahun kemerdekaan, telah menampakkan sokongan dan kerjasama yang semakin kukuh kepada kerajaan beta dalam sama-sama berusaha untuk menjamin keselamatan, ketenteraman dan pembangunan negara yang sama-sama kita cintai ini. Beta dapat merasakan, daripada sokongan dan kerjasama yang diberikan itu, akan perasaan megah rakyat dan penduduk negara ini menikmati kemerdekaan dan kedaulatan negara dan bangsa. Adalah beta harapkan semangat yang telah ditunjukkan itu akan sentiasa berterusan terjalin untuk membawa Negara Brunei Darussalam ke arah kemajuan dan pembangunan yang pesat serta mewujudkan suasana kemantapan politik dan sosial yang berkekalan, insya-Allah. Walau bagaimanapun, dalam keadaan negara menikmati suasana aman dan tenteram ini, terdapat juga golongan-golongan yang cuba menggugat kestabilan sosial dan politik di negara ini dengan memesongkan dan mengelirukan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah politik mereka yang mana mereka sendiri tidak jelas dan pasti dengan apa yang mereka hendak capai, tetapi cuba meniru-niru apa yang dibuat oleh orang lain. Mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin politik ini adalah mereka yang menjalankan perusahaan dan perniagaan sendiri dan telah diberikan peluang oleh kerajaan beta bagi menyiapkan berbagai projek pembangunan. Akan tetapi, mereka telahpun gagal dalam perusahaan mereka dan di sebaliknya menyalahkan kerajaan beta di atas kegagalan mereka itu. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negeri seperti United Kingdom, akan tetapi telah kembali tanpa memperolehi sebarang kelulusan. Bersandarkan kepada kegagalan mereka ini, kebolehan mereka untuk memimpin rakyat adalah dipersoalkan, kerana mereka sendiri tidak dapat menguruskan kepentingan-kepentingan mereka dengan teratur apatah lagi untuk mentadbirkan negara. Kepada golongan-golongan seperti ini, kerajaan beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka. Kepada rakyat dan penduduk negara ini, beta ingin mengingatkan supaya berwaspada dengan dakyah-dakyah yang memberikan janji-janji manis tetapi kosong dan tidak berasas sama sekali.
Kerajaan beta adalah sentiasa mengambil berat untuk mempastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini bagi jangka masa panjang, iaitu dengan mengungkayahkan berbagai-bagai rancangan pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam. lni termasuklah juga perhatian yang teliti telahpun diberikan ke atas bidang pelajaran, kesihatan dan perhubungan di negara ini. Kerajaan beta telahpun menyusun semula dan mengemaskinikan sistem pelajaran di negara ini, untuk menentukan tenaga-tenaga mahir akan dapat dihasilkan bagi menampung keperluan-keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berkemahiran dan berkeupayaan untuk menggerakkan jentera pembangunan, bidang kesihatan juga telah diberikan perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan bagi menjamin masyarakat dan penduduk di negara ini adalah sentiasa dalam keadaan sihat, baik dari segi fizikal dan mental mereka. Menyedari akan pentingnya peranan perhubungan di dalam pembangunan negara dan perdagangan dengan dunia luar, berbagai rancangan permodenan sistem perhubungan di negara ini telahpun diungkayahkan dan akan dilaksanakan. Dalam pada itu, kerajaan beta adalah sangat mengalu-alukan pelabur-pelabur asing untuk melabur dan mengadakan usahasama dengan anak-anak tempatan di bidang-bidang perindustrian dengan rnemberikan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan.
Usaha juga telah ditumpukan pada mengemaskinikan jentera pentadbiran, dalam mana kerajaan beta sedang giat berusaha mendatangkan pakar-pakar dari luar negeri bagi mengajar kaedah-kaedah pentadbiran moden kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, untuk membantu pembentukan satu sistem pentadbiran yang efisien, berkesan lagi bersih sepertimana yang dihasratkan. Bagi pencapaian ini, sebagaimana yang selalu beta nyatakan, adalah perlu bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di negara ini untuk sentiasa bekerjasama di antara satu dengan lain dan mewujudkan persefahaman untuk sama-sama bertanggungjawab dalam mengusai jentera-jentera pentadbiran kerajaan.
Di bidang antarabangsa, Negara Brunei Darussalam adalah mengambil berat akan peri mustahaknya mewujudkan suasana politik serantau yang mantap lagi stabil. Kemantapan dan kestabilan ini dapat dicapai jika terjalin persefahaman terhadap kepentingan bersama di kalangan masyarakat serantau. Bagi mencapai matlamat ini, Negara Brunei Darussalam sepertimana yang telah beta nyatakan di dalam Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN kali ke-3, yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini, telah memberikan kesediaan dan kesanggupan kita dalam mengungkayahkan rancangan-rancangan belia ASEAN. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata bagi Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persefahaman dan setiakawan di kalangan Pertubuhan ASEAN. Kerana dengan wujudnya faktor-faktor itu nanti akan mempermudah dan mempercepatkan lagi usaha-usaha kerjasama politik dan ekonomi dalam Pertubuhan ASEAN.
Sejajar dengan prinsip dasar luar negeri Negara Brunei Darussalam di dalam perhubungan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam juga telah memperluaskan hubungan-hubungan persahabatan dengan beberapa buah negara di Benua Afrika. Ini membuktikan bahawa Negara Brunei Darussalam tidak mengenal warna kulit di dalam mewujudkan persahabatan, tetapi adalah bersandarkan kepada prinsip-prinsip persamaan, kejujuran dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain, dan bebas daripada campurtangan di dalam hal-ehwal dalam negeri masing-masing.
Pada Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam ini, beta ingin mengingatkan kepada semua rakyat dan penduduk, khususnya belia-belia di negara ini, akan betapa pentingnya bagi kita semua untuk mewujudkan ketahanan diri dan bangsa dalam menghadapi cabaran-cabaran kancah ekonomi dan politik antarabangsa. Matlamat ini dapat dicapai jika kita semua menyedari akan perlunya memperkukuhkan negara kita dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta kesucian agama. Menuju ke arah ini, adalah perlu bagi setiap rakyat dan penduduk di negara ini menanamkan semangat untuk sentiasa berdisiplin, cergas dan mengikut lunas-lunas budaya bangsa di dalam melakukan apa jua tanggungjawab dan kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka, dan di dalam kehidupan seharian. Rakyat yang sentiasa cergas dan berdisiplin lagi bertanggungjawab akan memudahkan kerajaan untuk menyelenggarakan dan melaksanakan undang-undang serta peraturan-peraturan, yang mana semata-mata adalah diniatkan untuk membisaikan dan membentuk satu masyarakat yang sejahtera lagi bertamadun. lanya juga akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menggerakkan jentera-jentera pembangunan dan mempertahankan keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh dan anasir-anasir yang tidak diingini.
Di samping itu, rakyat yang berdisiplin lagi berbudaya tidak akan sentiasa mengharapkan ataupun bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan sumber-sumber bantuan, baik berbentuk kewangan ataupun material, malahan mereka akan menjadi anggota masyarakat yang sentiasa berdikari dan berusaha untuk memperbaiki taraf penghidupan mereka. Rakyat juga hendaklah sentiasa memberikan pertolongan secara sukarela dan sedia tampil ke hadapan apabila tenaga mereka diperlukan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, serta mereka juga hendaklah berdedikasi dan mempunyai rasa bangga ke atas setiap pekerjaan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan kerja yang lutanan lagi bermutu. Ini adalah satu-satunya kualiti yang patut ada pada diri kita semua dan ianya sangat-sangat diharapkan oleh negara kita yang sedang membangun.
Sebagai rakyat Brunei, adalah juga penting bagi kita semua untuk mempertahankan ciri-ciri kebudayaan kita sebagai orang Brunei yang mana sentiasa galat-mengalati di antara satu dengan lain, bermaruah, beradat-istiadat dan juga taat beragama dan beribadat. Ciri-ciri ini adalah satu lambang yang menjadi kemegahan kepada kita semua di negara ini. Adalah beta hasratkan ciri-ciri budaya yang beta nyatakan itu akan sentiasa diperkembangluaskan dengan menanamkan semangat-semangat itu kepada generasi-generasi muda yang masih di bangku sekolah. Kerana dengan gabungan rakyat yang berdisiplin lagi cergas serta berbudaya, maka kita akan dapat membawa negara dan bangsa yang kita cintai ini ke arah satu zaman kegemilangan dalam mana rakyat dan penduduk di dalamnya sentiasa di dalam keadaan aman, tenteram serta makmur, dan bebas daripada gejala-gejala sosial dan sifat negatif. Ini adalah sejajar dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi: “BERDISIPLIN CERGAS, BERBUDAYA, NEGARA BAHAGIA”.
Bagi menghasilkan rakyat dan penduduk yang berdisiplin cergas lagi berbudaya, seperti yang beta hasratkan, kerajaan beta di samping menyediakan keperluan-keperluan asas yang lain juga akan menyediakan kemudahan-kemudahan sukan dan riadah iaitu dengan mengadakan bangunan-bangunan pusat sukan di kesemua daerah di negara ini, yang mana nanti akan dilengkapi dengan berbagai-bagai kelengkapan dan akan dapat menampung kehendak-kehendak ramai.
Buat mengakhiri ucapan beta ini, beta sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, dan juga anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang mana telah rnemberikan kerjasama kepada kerajaan beta dengan bekerja dengan penuh tekun dan rajin serta amanah dan jujur di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, dan juga pada menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ahli-ahli jawatankuasa sambutan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat-Nya, dan akan sentiasa memberikan kemakmuran serta keamanan serta menghindarkan daripada apa jua ancaman dan malapetaka kepada, negara, rakyat, penduduk dan sekalian isi di dalamnya.