Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1987
Sempena Ulangtahun Ke-3 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru sekalian alam, salawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Bersempena dengan Ulang Tahun Ketiga Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah beta dan rakyat beta yang dikasihi bersama-sama meraikan hari yang bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam, iaitu sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka. Dalam tempuh tiga tahun sebagai sebuah negara dan bangsa yang merdeka lagi berdaulat, ianya telah kita lalui dengan aman dan tenteram dan terhindar dari segala bencana yang mana semua ini adalah dengan petunjuk dan keredaan Allah Subhanahu Wataala semata-mata.
Dalam jangka masa yang sama, beta juga telah dapat melihat dan merasakan kerjasama dan sokongan serta kepercayaan penuh daripada segenap peringkat dan lapisan rakyat di negara ini kepada kerajaan beta. Hasil daripada sokongan dan kepercayaan yang diberikan itu, kita telah dapat mencapai kemantapan politik, perkembangan dan kemajuan di bidang sosial dan ekonomi dan keharmonian serta persefahaman di kalangan masyarakat. Unsur-unsur yang beta nyatakan ini adalah penting untuk membuat negara kita ke arah kemajuan dan pembangunan yang pesat seperti yang dihasratkan.
Sejajar dengan aspirasi sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, adalah menjadi teras kerajaan beta untuk memberikan perhatian utama kepada soal-soal kesejahteraan, kebajikan, kemakmuran serta jaminan masa depan bagi rakyat dan generasi yang akan datang. Ini dapat dilihat dengan sebab bertambahnya pengalaman di bidang pengurusan di dalam kerajaan beta, melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini, maka kerajaan beta telah menjadi pemegang saham yang terbesar dalam perusahaan LNG. Dalam pada itu juga, bagi pencapaian ke arah yang beta nyatakan tadi, kerajaan beta telah mengungkayahkan berbagai langkah dalam bidang ekonomi dan kemajuan. Usaha-usaha ini adalah semata-mata untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara daripada bergantung sangat kepada sumber-sumber alam, yakni minyak dan gas. Kerajaan beta adalah sangat menyedari pada hakikat bahawa ekonomi negara tidak akan dapat berterusan bergantung hanya kepada penghasilan minyak dan gas.
Di antara langkah-langkah dan projek-projek yang beta maksudkan itu ialah seperti mengadakan pendaftaran lesen perkapalan di Negara Brunei Darussalam, yang mana bertujuan untuk memajukan perindustrian perkapalan di negara ini, penubuhan industri-industri kecil (light industries) dan meningkat dan memperluaskan keupayaan perkhidmatan Penerbangan Diraja Brunei, supaya lebih kemas lagi dan bertaraf antarabangsa. Perlaksanaan projek-projek ini adalah juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi taraf ekonomi dan sosial negara dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Di samping itu, dengan keadaan ekonomi kita yang mantap dan stabil, kerajaan beta akan berterusan merancangkan projek-projek yang akan benar-benar memberikan manfaat dan faedah kepada semua rakyat beta di negara ini, iaitu seperti di bidang pelajaran, kesihatan, perhubungan dan perkhidmatan sosial yang meliputi infrastruktur perindustrian dan perniagaan dengan menurut keupayaan dan keutamaan jua.
Di dalam menyelenggarakan apa jua bentuk rancangan kemajuan dan pembangunan negara, adalah menjadi hasrat kerajaan beta untuk mempastikan penglibatan pihak swasta di negara ini untuk bekerjasama dalam melaksanakan rancangan-rancangan tersebut dengan mengikut kemampuan dan keupayaan mereka. Hendaknyalah setiap peluang yang diberikan itu akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan perasaan tanggungjawab terhadap kemajuan dan perkembangan negara. Semestinyalah pihak swasta di negara ini akan dapat menyiapkan kerja-kerja yang diberikan mengikut jangka waktu yang ditetapkan dan dibuat dengan sempurna serta perasaan penuh jujur dan amanah, bukannya semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
Penyusunan semula kabinet pada tahun lepas, dalam mana beberapa kementerian baru telah ditambah, dan diikuti pula dengan perlantikan beberapa orang timbalan menteri, adalah semata-mata bertujuan untuik mengemaskinikan jentera pentadbiran negara selaras dengan perkembangan kita sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Dengan wujudnya satu pentadbiran yang cekap, berkesan lagi bersih dan amanah serta accessible, maka dapatlah kerajaan beta mendengarkan dan mengatasi segala pengaduan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Adalah beta harapkan saluran-saluran yang telah disediakan ini akan digunakan tanpa ragu-ragu dan dengan perasaan penuh tanggungjawab oleh segenap lapisan rakyat beta untuk mengemukakan secara langsung segala masalah dan kesulitan mereka kepada pihak-pihak kerajaan yang bertanggungjawab mengenai masalah-masalah tersebut, bukannya dengan mengadukan kepada pihak-pihak yang tidak kena-mengena dengan pentadbiran kerajaan, yang mana nanti akan menggunakan pengaduan-pengaduan tersebut sebagai batu loncatan untuk memenuhi kepentingan diri mereka sendiri.
Dalam pada itu juga, di dalam jentera pentadbiran negara, adalah beta harapkan supaya penilaian dan penelitian yang terperinci akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang pembaharuan dan penambahan dilakukan. Ini adalah untuk mempastikan tidak terdapat sebarang kerja bertindih-tindih, yakni ‘duplication’ di dalam sistem pentadbiran dan juga pembaziran tenaga kerja.
Menuju ke arah ini, adalah penting bagi setiap jentera di dalam pentadbiran saling hubung-menghubungi di antara satu dengan lain, dan mengadakan penyelarasan kerja pada setiap masa.
Di peringkat perhubungan antarabangsa, dalam waktu yang singkat ini, Negara Brunei Darussalam telah memainkan peranan mengikut keupayaan kita. Negara Brunei Darussalam telah menyuarakan dengan tegas dan lantang mengenai dengan pendiriannya ke atas isu-isu serantau dan dunia antarabangsa di forum-forum serantau dan antarabangsa. Hasil daripada kemantapan sosio-ekonomi dan politik dalam negeri, disertai dengan keupayaan kita untuk melaksanakan penglibatan di peringkat serantau dan antarabangsa negara-negara luar bertambah yakin kepada kita. Adalah menjadi hasrat beta untuk mempertingkatkan lagi persahabatan dan bidang kerjasama ekonomi dan sosial dengan negara-negara ASEAN dan semua negara-negara sahabat yang berlandaskan kepada prinsip saling hormat-menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan integrity wilayah yang bebas dari campur tangan di dalam hal-ehwal dalam negeri.
Sehubungan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu “BERSATU KE ARAH KEAMANAN DAN KEMAJUAN”, beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada belia-belia di negara ini pada khususnya, dan juga seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam pada amnya, supaya tampil ke hadapan menyahut dan memikul seruan-seruan dan aspirasi kerajaan. Di dalam proses membangun negara, yakni ‘nation-building’, dan mempastikan ‘continuity’ kemerdekaan dan kedaulatan bangsa, agama dan negara, ianya adalah juga bergantung kepada tenaga mental serta fizikal dan kesedaran belia-belia di dalam negeri memikul tanggungjawab. Belia-belia adalah penggerak dan pendukung kepada semua dasar dan matlamat kerajaan untuk membawa bangsa dan negara ke arah keamanan, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran hidup. Bagi pencapaian ke arah ini adalah perlu bagi belia-belia di negara ini memainkan peranan dengan cara yang betul dan teratur, bukannya sebagai anggota masyarakat yang tidak acuh dan tidak mengambil indah kepada keadaan sekeliling mereka. Untuk menjamin masa depan negara dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan bangsa dan kesucian agama, Negara Brunei Darussalam memerlukan belia-belia yang berdisiplin, tahan lasak, berdikari, bertanggungjawab dan taat setia kepada bangsa dan negara, dan cinta kepada agama.
Sejajar dengan ajaran Agama Islam yang suci, hendaknyalah belia-belia dan rakyat Negara Brunei Darussalam pada amnya akan sentiasa bersatu padu dan bermuafakat di dalam kehidupan seharian dan memberikan kerjasama kepada pihak yang berwajib untuk menjaga keselamatan negara daripada musuh dan ancaman anasir-anasir jahat.
Belia-belia negara ini mestilah menghindarkan diri mereka daripada pengaruh-pengaruh dadah, kerana belia-belia yang menjadi penagih dadah adalah merugikan bangsa dan negara. Di sebaliknya belia-belia mestilah memerangi penyalahgunaan dadah dan membasmi masalah-masalah sosial di negara ini seperti tabiat merosak harta benda dan kemudahan-kemudahan awam, pengotoran alam sekitar, dan sifat tidak bertolak ansur di dalam penggunaan jalan raya.
Bersempena dengan hari yang bersukut baik ini, beta sukacita mencatatkan penghargaan kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka pada menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Beta juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah bekerja dengan tekun dan rajin serta amanah dan jujur, dan juga kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan beta dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan bermanfaat. Seterusnya beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini.
Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam ini, dan semua usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan negara ini, akan dapat disempurnakan dengan mendapat keredaan Allah jua.
Sekian, Wabillahit Taufik Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.