Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1986
Sempena Ulangtahun Ke-2 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Di saat yang berkat dan bersukut baik ini, Kita mengucap syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan Ulang Tahun Kedua Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dalam keadaan negara kita menikmati keamanan dan kemakmuran. Sambil kita memohon keredaan Allah Subhanahu Wata’ala, kita merenung kembali usaha-usaha dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan sejak Negara Brunei Darussalam mencapai semula tarafnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Kita penuh yakin, usaha-usaha tersebut membuktikan keupayaan kita memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap masa depan negara kita, dan segala apa jua cabaran dan rintangan telah dapat kita tempuhi dengan azam dan tekad yang kuat dan dengan izin Allah jua. Namun demikian, kita juga harus beringat bahawa masih banyak 1agi kerja-kerja yang perlu kita ungkayahkan dan janganlah kita merasa leka tetapi kita hendaklah terus melipat-gandakan lagi usaha-usaha yang berkebajikan. Dalam pada itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap rakyat dan penduduk negara ini untuk memelihara dan menjamin supaya suasana keamanan dan ketenteraman yang telah kita nikmati selama ini akan berterusan dan dapat pula dinikmati oleh anak cucu keturunan kita di masa akan datang.
Hari ini, dalam tempuh dua tahun kita menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, kita berbangga kerana terdapat kemajuan-kemajuan yang telah kita capai. Di bidang arena antarabangsa, kita telah berjaya memainkan peranan yang aktif dan berkesan sesuai dengan dasar dan pendirian kita yang mangamalkan dasar bekerjasama dengan negara-negara sahabat ke arah pencapaian keamanan, kemajuan ekonomi dan persefahaman antarabangsa atas asas persamaan, saling hormat-menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi semua negara, dan bebas dari campur tangan dari luar. Di dalam negeri, usaha-usaha kita untuk memperkukuhkan lagi pencapaian di bidang pembangunan, sosial dan ekonomi terus berkembang maju walaupun keadaan ekonomi dunia pada amnya sedang meleset. Rancangan Kemajuan Negara Yang Ke-5, bagi tempuh tahun 1986-1990, adalah dihasratkan ke arah usaha-usaha bagi membina negara, (yakni nation building), dengan tujuan untuk meningkatkan lagi kesempurnaan hidup seluruh rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam di samping memperkukuhkan lagi kemajuan ekonomi dan sosial negara. Penubuhan institusi-institusi tertinggi seperti Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei, adalah dihasratkan untuk melengkapkan rakyat negara ini dengan ilmu pengetahuan dan pegangan serta fahaman yang betul, juga bagi maksud melahirkan generasi yang penuh bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran untuk terus membangun negara. Buku Undang-Undang Negara Brunei Darussalam yang baru telahpun diterbitkan yang mengandungi banyak undang-undang baru yang telah diluluskan dan yang lama telah dipinda atau dimansuhkan. Dengan adanya penyemakan semula, maka undang-undang yang ada itu disesuaikan dengan keadaan yang ada sekarang. Kita juga bersyukur kerana kedudukan pelaburan kita di luar negeri adalah berkeadaan kukuh dan terjamin, yang mana Alhamdulillah dari Crown Agents dalam bulan J ulai 1983 jumlah pelaburan kita sekarang telah meningkat dengan kadar lebih dari 53%.
Kerajaan Kita akan terus membuat perancangan yang teliti untuk menjamin kemajuan yang berterusan terutama sekali dalam bidang pertahanan, pelajaran, perubatan, pembangunan serta perhubungan. Mana-mana projek atau matlamat yang patut diutamakan, akan kita laksanakan dengan segera. Yang lainnya akan dilaksanakan menurut giliran dan keutamaan yang ditentukan. Kita sedar negara kita mempunyai bilangan penduduk yang kecil dan kita mengalami kekurangan tenaga manusia yang terlatih untuk melaksanakan projek-projek kemajuan. Oleh yang demikian, matlamat kita ialah untuk menambah bilangan rakyat yang mempunyai kemahiran dan pengalaman bukan saja di bidang akademik, tetapi juga di bidang teknikal dan professional supaya kemakmuran masa depan akan lebih terjamin lagi. Kita penuh yakin, dengan adanya kerjasama dan sokongan rakyat yang sanggup memikul tanggungjawab pada menyahut seruan Kerajaan Kita, bukan saja matlamat dan projek -projek kemajuan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna, tetapi apa yang lebih penting lagi ialah supaya hasilnya akan dapat pula dinikmati bersama secara meluas, yakni oleh mereka yang bekerja teras dan yang tidak melepaskan peluang-peluang yang halal serta kemudahan-kemudahan yang sememangnya disediakan oleh Kerajaan Kita.
Kita juga ingin mengulangi, adalah mustahak untuk kita hidup bersatu-padu dan sentiasa berwaspada terhadap apa jua anasir-anasir yang cuba menimbulkan salah faham dan membuat kucar-kacir dengan maksud yang jahat yakni merosakkan keamanan, kemerdekaan serta kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap anasir-anasir tersebut supaya niat mereka yang jahat itu akan dicegah dan dihancurkan.
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Kita ini, Kita sukacita mencatatkan penghargaan Kita kepada pegawai-pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang berat pada mempertahankan keselamatan dan menjaga kesejahteraan negara kita. Kita juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan serta tahniah Kita kepada semua pegawai dan seluruh kakitangan dalam perkhidmatan awam Kerajaan Kita yang telah bekerja dengan tekun dan rajin serta amanah dan jujur, danjuga kepada seluruh rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan kerjasama kepada Kerajaan Kita dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan bermanfaat. Di samping itu, Kita ingin juga mengambil peluang untuk mencatatkan penghargaan Kita kepada semua yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan tahun ini, terutamanya kepada Jawatankuasa yang berkenaan dan juga kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perayaan tersebut.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam ini, dan semua usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan Negara ini akan dapat disempurnakan dengan mendapat keredaan Allah jua.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal- Hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh