Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1985
Sempena Ulangtahun Ke-1 Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, seru sekalian ‘alam, salawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana semenjak Negara Brunei Darussalam mengambil alih semula tanggungjawab penuh sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat pada tahun lepas, rakyat dan penduduk Negara ini terus ­menerus dapat menikmati keadaan sosio-politik dan ekonomi yang mantap dan berkembang maju. Kerajaan kita juga dengan sokongan rakyat serta penduduk yang sentiasa bersatu-padu telah membuktikan keupayaannya memikul tanggungjawab sepenuhnya sesuai dengan taraf negara merdeka.

Kita juga telah diterima menjadi ahli penuh kepada berbagai-bagai pertubuhan antarabangsa pada misalnya ASEAN, OIC, Pertubuhan Negara-Negara Commonwealth dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Alhamdulillah, secara beransur-ansur kita telah dapat memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa itu sesuai dengan sikap dan pendirian serta konsep Negara Brunei Darussalam. Insya Allah, Brunei Darussalam dari semasa ke semasa akan meneruskan pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan (kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur-tangan dari luar negeri.

Perhimpunan yang diadakan pagi ini adalah dimaksudkan sebagai Perbarisan Perpaduan. Ini amatlah bersesuaian lebih-lebih lagi pada awal zaman Negara kita menikmati semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat. Perpaduan dalam ertikata yang sebenar-benarnya akan dapat menjamin perkembangan dan kemajuan sesebuah negara itu. Oleh itu, adalah mustahak bagi seluruh rakyat dan penduduk negara ini supaya hidup bersatu-padu di dalam keadaan yang bersefahaman, saling bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu dengan lain. Adalah sebaik-­baik amalan bagi mereka untuk terus-menerus mempunyai sikap hidup berdisiplin supaya perpaduan yang sudah sedia ada itu akan dapat dipertahankan dan akan terus dipelihara dan dipupuk di antara berbagai puak keturunan yang mencurahkan taat setia kepada Raja dan Negara ini. Apa jua anasir-anasir yang ingin menimbulkan salah faham dan kucar-kacir di kalangan masyarakat kita hendaklah dicegah supaya niat dan perbuatan mereka yang jahat itu akan dapat dipatahkan untuk selama-lamanya.

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Pertama Hari Kebangsaan Negara kita ini, kita sukacita mencatatkan penghargaan kita kepada Pegawai-Pegawai dan Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta Pasukan Keselamatan yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang berat pada mempertahankan keselamatan dan menjaga kesejahteraan kita. Kita juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kita kepada semua Pegawai-Pegawai dan seluruh kakitangan dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan kita yang telah bekerja dengan tekun dan rajin, dan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan sumbangan dan kerjasama kepada Kerajaan kita dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan manfaat. Di samping itu; kita ingin juga mengambil peluang untuk mencatatkan penghargaan kita kepada semua yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga di dalam menyempurnakan aturcara perayaan pada pagi ini, terutama kepada Jawatankuasa yang berkenaan dan juga kepada mereka yang telah mengambil bahagian pada menjayakan perayaan ini.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam dan segala manusia isi di dalamnya, supaya semua usaha-usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan Negara ini akan dapat disempurnakan dan akan mendapat keredaan Allah jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.