Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Pada 23 Februari 1984 di Istana Nurul Iman
Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan-Tuan Yang Terutama, Tuan-Tuan dan Puan.
Dengan rasa penuh gembira Beta alu-alukan kedatangan Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan- Tuan Yang Terutama Presiden-Presiden dan Perdana Menteri-Perdana Menteri, Tuan-Tuan Yang Terutama, Tuan-Tuan dan Puan, dalam sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang pertama bagi memperingati dan meraikan pengambilan semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat pada 1 Januari 1984.
Sejak mengambil alih tanggungjawab sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, Brunei Darussalam amat beruntung sekali kerana diterima untuk menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara, ASEAN, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam, OIC dan Pertubuhan Negara-Negara Commonwealth dalam masa yang singkat. Yang demikian, Beta ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-negara yang bertanggungjawab melancarkan kemasukan Brunei Darussalam ke dalam pertubuhan-pertubuhan itu. Adalah menjadi hasrat Beta untuk terus meningkatkan lagi hubungan dengan negara-negara tersebut yang memberi sokongan atas kemasukan Brunei Darussalam ke dalam pertubuhan-pertubuhan itu. Bagaimanapun dalam mengembangkan hubungan-hubungan yang baru itu, Brunei Darussalam tidak berhasrat untuk mengenepikan hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama. Terutamanya, Beta ingin merakamkan setinggi penghargaan atas peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Elizabeth II dalam perkembangan negara kami dan dengan keikhlasan mengharapkan hubungan Brunei Darussalam dengan United Kingdom akan terus erat dan mesra di tahun-tahun yang akan datang.
Sejak mengambil alih semula tanggungjawab sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, Brunei Darussalam juga amat bertuah dalam beberapa keadaan. Ianya mempunyai peraturan politik yang mantap termasuk perkhidmatan awam yang kukuh, infra-struktur yang baik, kemudahan-kemudahan serta kedudukan sosial yang agak tinggi termasuk bilangan yang besar penduduk berpelajaran serta salah sebuah negara yang paling tinggi taraf hidupnya di Asia. Allah Subhanahu Wataala melimpahkan rahmatnya kepada Brunei Darussalam dengan adanya sumber-sumber asli yang begitu penting seperti minyak dan gas asli yang merupakan sumber pendapatan utama kami. Yang demikian, Kerajaan Beta sejak bertahun-tahun telah dapat membiayai rancangan perkembangannya dengan sumber-sumber kewangannya sendiri, di samping mengekalkan sejumlah besar lebihan setiap tahun untuk penanaman modal di sebarang laut.
Adalah menjadi hasrat Beta bagi mempastikan rancangan perkembangan termasuk memberi tanah dan perumahan untuk rakyat jati yang tidak mempunyai tanah itu dilaksanakan dengan penuh semangat untuk membolehkan rakyat Beta menikmati taraf hidup yang lebih baik dan maju. Memandangkan minyak dan gas merupakan sumber asli yang akan berkurangan adalah menjadi hasrat Beta untuk mempastikan pengeluaran minyak Brunei Darussalam kekal pada peringkat yang lebih rasional selaras dengan keperluan untuk melanjutkan lagi kemakmuran yang kini dinikmati oleh rakyat Beta. Di waktu yang sama Beta ingin mempastikan pelaburan luar negeri kami diuruskan dengan lebih efisien sementara usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara kami dipergiatkan lagi. Dalam usaha-usaha ini sebagai Ketua Negara juga Ketua Kerajaan Beta akan berusaha untuk melaksanakannya bagi faedah rakyat Beta.
Brunei Darussalam tidak pernah menjadi negeri jajahan tetapi mempunyai hubungan perjanjian istimewa dengan United Kingdom yang bermula sejak tahun 1847, tatkala Brunei menandatangani perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan United Kingdom. Perjanjian ini kemudiannya diikuti pula dengan beberapa persetujuan yang termasuk memindahkan kepada United Kingdom antara lain tanggungjawab urusan luar Brunei kepada United Kingdom yang berkesudahan dengan perjanjian persahabatan dan kerjasama ditandatangani pada tahun 1979 dengan diputuskan bahawa Britain akan menyerahkan semua kuasa dan tanggungjawabnya kepada Brunei Darussalam mulai 31 Disember 1983. Dan mulai 1 Januari 1984, Brunei akan mengambil alih semula tanggungjawab antarabangsa yang sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Tidak seperti negeri-negeri yang dijajah ketika mencapai kemerdekaan, Brunei Darussalam mengambil alih kedudukan sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dengan pengisytiharan kemerdekaan tepat pada tengah malam 31 Disember 1983 yang kita raikan pada hari ini.
Sebagai negara yang mempunyai tanggungjawab antarabangsa terhadap Brunei sebelum kemerdekaan kami, adalah bertepatan sekali bilamana United Kingdom diwakili di sini dalam perayaan ini oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Wales sebagai wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Elizabeth II dan atas kehadirannya ini Beta ingin melafazkan penghargaan yang ikhlas.
Beta juga ingin melafazkan penghargaan yang ikhlas negara Beta serta rakyat Beta kepada negara-negara yang diwakili di sini dalam upacara yang penuh gemilang ini oleh Ketua-Ketua Negara, Ketua-Ketua Kerajaan serta pembesar-pembesar negara juga wakil-wakil mereka dan juga kepada mereka yang telah menyampaikan ucapan tahniah mereka kerana tidak dapat hadir sendiri pada hari ini.
Sebagai sebuah negara baru di tengah-tengah masyarakat antarabangsa ini, masalah yang dihadapi Brunei tidaklah berbeza dari yang dihadapi oleh kesemua anggota. Tugas bagi Kerajaan Beta yang demikian, adalah sukar tetapi mencabar. Lebih-lebih lagi kerana rakyat dalam sebuah negara yang baru merdeka kerap membandingkan diri mereka dengan pengharapan-pengharapan masakini dengan dunia yang telah maju. Dalam menghadapi cabaran-cabaran itu Beta percaya rakyat Beta akan memenuhi kehendak tersebut dengan meningkatkan lagi usaha mereka dalam memainkan peranan mereka masing-masing demi untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran dengan infra-struktur yang terdapat pada masa ini yang ditubuhkan di bawah rancangan kebangsaan terdahulu serta pengurusan yang bijaksana terhadap sumber-sumber yang terdapat di negara kita. Beta yakin Brunei akan dapat memenuhi cabaran-cabaran itu dengan izin Allah jua.
Bagaimanapun tanpa keamanan dan kemantapan politik, kemajuan ekonomi tidak akan wujud dan tanpa kemajuan ekonomi kemerdekaan dan kebebasan kita akan menjadi kucar-kacir. Dalam dunia yang semakin bebas, ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin meleset, keperluan terhadap usaha-usaha kerjasama adalah semakin mendesak. Oleh yang demikian adalah menjadi dasar negara kami untuk bekerja bersama-sama dengan semua rakan dan sekutu ke arah pencapaian keamanan, kemajuan ekonomi serta persahabatan di kalangan negara-negara berasaskan persamaan, saling menghormati kemerdekaan kedaulatan dan keutuhan wilayah mereka dan dengan prinsip tidak campurtangan dalam ehwal negara-negara lain.
Brunei bertuah mempunyai negara-negara ASEAN sebagai jiran dan Brunei sendiri sebagai anggotanya dan yang mana Brunei sama-sama mempunyai tujuan dan matlamat yang setara. Sebagai anggota negara-negara Commonwealth, kami akan dapat meneruskan hubungan yang wujud dengan negara-negara yang mana kami mempunyai hubungan sejak sekian lama melalui perhubungan dengan United Kingdom. Sebagai sebuah Kesultanan Melayu Islam, kami menghargai pernyataan persahabatan dari negara-negara Islam terhadap Brunei. Kami juga menghargai ucapan-ucapan yang begitu mesra dari berbagai negara yang menjalin hubungan persahabatan dengan kami setelah pencapaian kemerdekaan kami. Kesemuanya ini menjadikan peralihan kami sebagai sebuah negara yang merdeka berjalan dengan lancar dan aman. Dengan adanya hubungan persahabatan dan muhibah itu dari masyarakat antarabangsa terhadap Brunei, kita penuh yakin dalam suasana ini Brunei akan dapat mengusahakan kemajuan ekonomi dan kerohanian bagi rakyatnya serta bekerja bersama-sama untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran di seluruh dunia.
Sebagai penutup, Beta ingin melafazkan harapan semoga para tetamu dari luar negeri berada dalam keadaan yang cukup selesa di negara ini dan sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan rakyat Beta atas penghormatan yang mereka berikan dengan kehadiran mereka ini yang bersama-sama kami merayakan kemunculan kami sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Terima kasih.