Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Penulis perlu miliki sifat berani, bertanggungjawab

Sumber : Pelita Brunei

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said


Screenshot (5).png


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Untuk menjadi seorang penulis mestilah mempunyai sifat yang berani dan bertanggungjawab, mempunyai sensitiviti yang kuat, pengamatan yang tajam, daya imaginasi yang unggul dan daya kreatif yang tinggi.

 

Malah Dorothea Brande menegaskan, bahawa ''Kemahiran 'membaca sebagai penulis' (reading as a writer) harus ada dalam diri penulis. Mereka harus memegang buku sebagai eksperimen dan bukan hanya hiburan. Pembacaan yang dilakukan harus membantu dalam meningkatkan kemahiran menulis. Maka penulis turut menelaah, mengkaji dan memperhalusi apa yang dibacanya. Bahan bacaan haruslah multidisiplin bagi tujuan menambahkan lagi pengetahuan dan sumber penulisan nanti''.

 

Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin juga selaku Pengerusi Program Penulis Muda 2020, berucap demikian semasa Majlis Penutup Program Penulis Muda 2020 [Bengkel Penulisan Sajak], yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

 

Tambahnya lagi, dalam menjalani kehidupan sebagai seorang penulis harus mampu memenuhi tuntutan matlamat sebagai seorang sasterawan, antaranya mampu menerima kritikan; berfikiran terbuka; menghasilkan sentuhan emosi dan sentuhan intelektual; dan menuju kepada sebuah tanggungjawab sosial, agama dan negara.

 

Hasil daripada Program Penulis Muda tersebut juga banyak memberi kesedaran kepada masyarakat umum, terutama golongan muda, sama ada yang pernah menulis atau yang belum pernah menulis untuk turut serta berbengkel, malah jumlah penyertaan juga telah menunjukkan peningkatan, di samping program itu juga telah memberi ruang kepada seorang peserta yang kurang upaya yang menunjukkan minat dalam penulisan sastera.

 

''Ini satu perkembangan yang baik kerana dalam jangka pendek program ini telah berjaya membarigakan kepada khalayak masyarakat, terutama golongan muda bagi melibatkan diri dalam kegiatan sastera yang dikelolakan oleh DBP,'' ujar beliau lagi.

 

Perkembangan lain ialah bermula pada keluaran Mac - April 2020, majalah Bahana telah memuatkan satu ruangan khas bagi penulis muda, iaitu ruangan 'Suara Penulis Muda' yang memuatkan sajak dan cerpen bagi menampung hasil karya sastera, khususnya sajak dan cerpen daripada penulis muda, terutama alumni peserta Program Penulis Muda.

 

Atur cara majlis, kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel, disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

 

Program Penulis Muda adalah projek khas untuk penulis-penulis muda yang menyasarkan golongan muda-belia, berumur 15 hingga 35 tahun dan mempunyai minat dalam dunia penulisan juga berpotensi untuk dikembangkan bakat dalam penulisan karya-karya sastera.

 

Selain itu, program tersebut juga merupakan sebagai satu kaedah dan wadah untuk menarik minat penulis muda dalam penulisan sastera.

 

Antara objektif program berkenaan ialah melahirkan lebih ramai penulis muda yang berbakat dalam penulisan sastera; memberi dorongan dan sokongan berterusan kepada penulis muda dalam menghasilkan karya sastera yang berkualiti; membimbing penulis muda, berkarya dengan sistematik dan terarah yang dipandu / dibimbing oleh beberapa orang pakar sastera dan penulis mampan / berpengalaman dari dalam negara.

 

Selain itu, melalui program ini juga, mampu menghasilkan ramai penulis muda yang berpotensi meraih pelbagai anugerah sastera dan menjadi aktivis sastera pada masa depan, dan mampu menjadikan penulis muda sebagai tokoh sastera yang berwibawa juga mampu menyumbang ketamadunan bangsa dan Negara Brunei Darussalam pada masa depan.


Attachments
Created at 9/22/2020 2:21 PM by Dk Norsafiah Binti Pg Sapudin
Last modified at 9/22/2020 2:21 PM by Dk Norsafiah Binti Pg Sapudin