Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KEBAWAH DYMM BERANGKAT RASMIKAN HBT 2018

HBT Opening-royal.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: KKBS & Penerangan


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 April. - Tujuh negara akan memulakan misi merebut Piala Hassanal Bolkiah Kejohanan Bola Sepak Bagi Belia ASEAN 2018 (HBT 2018) bermula malam tadi sejurus Upacara Pembukaan Rasmi HBT 2018 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang penuh meriah dengan kehadiran ribuan rakyat dan penduduk yang sama-sama memberikan sokongan.

 HBT Opening-audience.1.jpg


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merasmikan kejohanan menyerikan lagi majlis, yang pastinya akan menjadi ristaan manis HBT tahun ini.

 HBT Opening-HM mingle with participants.jpg

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 HBT Opening-Brunei Team.jpg

Juga berangkat ialah anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

 

Keberangkatan Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi HBT 2018; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Haji Abu Bakar.

 

Turut menjunjung keberangkatan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan dimainkan dan Kebawah DYMM seterusnya berkenan merasmikan HBT 2018.

 

Baginda kemudiannya disembahkenalkan kepada pengurus-pengurus pasukan, jurulatih dan ketua-ketua pasukan dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada pengurus-pengurus pasukan.

 

Kebawah DYMM juga berkenan menerima pesambah daripada Ahli Jawatankuasa HBT 2018 yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Majlis Perasmian HBT 2018 turut diserikan dengan persembahan Human LED oleh seramai 2,500 peserta gabungan penuntut-penuntut dari sebelas buah sekolah menengah serta pegawai dan kakitangan kerajaan.

 

Pembukaan tirai perlawanan menyaksikan pertemuan Pasukan Negara Brunei Darussalam dengan Pasukan Timor-Leste.

 

HBT 2018 merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama NFABD, dan pada tahun ini ianya disertai oleh tujuh buah negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah.

 

Kejohanan yang bermula malam ini dijangka berakhir pada 5 Mei depan dengan menyandarkan dua buah 'venue' perlawanan, iaitu Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

 

Negara Brunei Darussalam telah berjaya menganjurkan kejohanan yang berprestij ini sejak tahun 2002, diikuti pada tahun 2005, 2007, 2012, dan 2014 di mana Negara Brunei Darussalam pernah menjuarai kejohanan ini pada tahun 2012 dan pada tahun 2014 telah dijuarai oleh Myanmar.

 

Kejohanan bertujuan untuk mendokong titah Kebawah DYMM untuk melibatkan pasukan terbaik di rantau ASEAN, untuk bersaing dalam liga bola sepak ASEAN atau Asia Tenggara di samping memberikan pendedahan dan kebolehan dalam kesukanan ASEAN kepada dunia.

 

Selain itu, dengan memberi peluang bagi pemain muda untuk bersaing di luar negara, rangkaian atau 'networking' di kalangan peserta-peserta ini akan dapat dibentuk dan seterusnya mewujudkan pemahaman budaya yang berbeza dalam masyarakat ASEAN.

 

Dengan pengendalian kejohanan ini, akan memberikan peluang kepada peminat bola sepak tanah air menyaksikan perlawanan-perlawanan yang berkualiti melalui aksi pemain-pemain muda yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak.

Attachments
Created at 4/25/2018 4:14 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 4/25/2018 4:39 PM by Lee Chin Foo